KUCHING: Sebanyak RM96.2 juta diperuntukkan Kerajaan Sarawak pada tahun hadapan bagi memperkukuh sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu merangkumi kos operasi institusi TVET utama di negeri ini, termasuk Sarawak Skills, Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) serta Kolej Laila Taib.
“Malah, kita turut menyalurkan dana pembangunan iaitu perbelanjaan modal sebanyak RM18 juta kepada Sarawak Skills, Advance Automotive Training Centre serta menaik taraf kampus Sarawak Skills SAVTI (Institut Latihan Vokasional Pertanian Sarawak),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, Kerajaan Sarawak juga menyediakan RM4.5 juta untuk memperkasa program pembangunan bakat digital generasi baharu.
“Peruntukan ini disalurkan kepada pelaksanaan NextGen Digital and Innovation Talent Programme untuk sekolah serta Sarawak Digital and Innovation Talent Acceleration Programme yang menekankan pembelajaran berasaskan industri dan pendidikan sepanjang hayat,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, penyertaan Sarawak dalam pertandingan kemahiran teknikal turut diberi perhatian bagi membuka lebih banyak ruang pendedahan kepada pelajar.
“Kerajaan juga meneruskan penyertaan aktif dalam WorldSkills Malaysia Sarawak 2025, yang kini menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan melatih bakat teknikal muda dengan penglibatan langsung pihak industri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak juga akan memperkenalkan Dasar dan Pelan Induk Pembangunan Bakat Sarawak, iaitu inisiatif utama yang menegaskan komitmen jangka panjang negeri dalam membangunkan, mengekalkan dan menarik bakat bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
“Dasar komprehensif tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2026 sebagai langkah strategik menyesuaikan tenaga kerja negeri dengan permintaan industri yang semakin berubah.
“Dasar dan pelan induk ini ialah tindak balas strategik kita terhadap keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Kita mahu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran teknikal, tangkas, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata, bagi menyiapkan kajian dasar tersebut, kerajaan memperuntukkan RM1 juta pada tahun hadapan.
Dalam perkembangan yang sama, katanya, Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS), akan diteruskan, iaitu program yang disasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mengurangkan kadar pengangguran.
“Melalui GETS, graduan kita akan menerima elaun RM1,500 sebulan dan diberi peluang mengikuti latihan yang relevan dengan keperluan industri.
“Program ini akan membantu mereka memasuki pasaran kerja dengan lebih yakin dan bersedia.
“Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan menyediakan RM20 juta bagi pelaksanaan GETS, yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 graduan tahun depan,” ujarnya.
Secara keseluruhan jelas Abang Johari, kerajaan memperuntukkan RM665 juta bagi sektor pendidikan dan pembangunan bakat pada tahun 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Sarawak untuk memupuk modal insan berkualiti demi manfaat generasi kini dan akan datang.

