Gilap potensi besar industri kelulut Sarikei

SARIKEI: Industri pemeliharaan lebah dan pengeluaran madu kelulut di daerah ini berpotensi untuk dikembangkan jika diusahakan dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, ia ditambah dengan kelebihan Sarikei yang mempunyai alam semula jadinya yang masih terpelihara.

Katanya, industri kelulut memberi sumbangan besar dalam industri pertanian negara malah permintaan ke atasnya sentiasa meningkat setiap tahun.

“Peningkatan permintaan pasaran yang tidak pernah surut menjadikan industri penternakan kelulut amat berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan dan menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat khususnya pengusaha kelulut di daerah ini.

“Menternak kelulut boleh dijadikan satu hobi yang mampu membawa keuntungan jika dilakukan dengan betul dan terancang. Ternakan Kelulut sangat mudah, kurang risiko dan kos rendah, ia pasti akan mendapat permintaan tinggi di pasaran pada kemudian hari,” katanya merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP), di sini, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedar kemajuan sektor pertanian dalam sesebuah negeri amat penting.

Malah katanya, kerajaan melaksanakan usaha secara menyeluruh bagi mengembang dan meningkatkan lagi kemajuan sektor itu dengannpelbagai inisiatif terkini melalui Jabatan Pertanian Sarawak.

“Kerajaan mengalak rakyat mengusahakan mempelbagaikan bidang tani dengan tidak hanya tertumpu pada satu sektor sahaja. Ia termasuklah akuakultur dan penternakan haiwan.

“Kita ingin melonjakkan potensi ekonomi sesebuah kawasan melalui ternakan veterinar. Ia merupakan satu strategi meningkatkan pengeluaran sektor makanan supaya dapat menikmati bahan mentah segar pada harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pemodenan negeri Sarawak termasuk pembangunan Sarikei.

Katanya, salah satu projek berimpak tinggi di Sarikei ialah pembinaan jalan Sarikei ke Tanjung Manis sekali gus menjadi rangkaian penting yang dapat mengurangkan masa perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis pada masa depan.

Dalam pada itu beliau menghulurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Jabatan Pertanian Sarikei.

Suara Sarawak