KUALA LUMPUR: Selepas anggota tentera dan polis yang menjadi golongan pertama menikmati subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) semalam, hari ini peluang sama turut dinikmati lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40.
Rata-rata penerima STR yang menikmati harga petrol itu pada RM1.99 seliter menzahirkan penghargaan dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan B40 yang amat memerlukan.

Di Perak, Ahmad Tasir Mohd Isa, 80, dari Pengkalan, berkata inisiatif kerajaan itu dilihat mampu meringankan sebahagian perbelanjaan rakyat, termasuk warga emas.
“Walaupun saya tidak menggunakan begitu banyak petrol setiap bulan, tetapi dengan penurunan harga minyak RON95 ini, memang ada kesannya terhadap perbelanjaan bulanan.
“Kaedah menebus subsidi ini juga tidak merumitkan kerana petugas stesen minyak sangat membantu saya mengenai cara-cara untuk menerima manfaat BUDI95,” kata pesara kerajaan itu ketika ditemui Bernama di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.






