ARTIKEL

Barisan AJK Kejohanan Liga Penalti Wanita Tertutup serta Futsal bawah 12 dan 18 tahun Kampung Segedup.

Golongan wanita diberi peluang menyerlah dalam bola sepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Golongan wanita turut mendapat ruang untuk menyerlah dalam sukan bola sepak apabila 64 pemain daripada 16 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Penalti Wanita Tertutup Kampung Segedup 2026, sekali gus menjadikan kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan futsal belia.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Ogos di Gelanggang Futsal Kampung Segedup itu dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Kampung Segedup (Real Segedup), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Segedup serta Marzman Enterprise.

Aksi sepakan penalti wanita.

Pengerusi Kelab Real Segedup, Mohd Shazwan Rahmatullah, berkata penyertaan wanita dalam pertandingan berkenaan menjadi antara fokus penganjuran bagi membuka lebih banyak ruang kepada golongan itu untuk terbabit secara aktif dalam kegiatan sukan di peringkat komuniti.

“Objektif penganjuran futsal tertutup dan liga penalti wanita ini adalah untuk memeriahkan kampung dan memberi peluang kepada anak-anak muda Segedup menunjukkan bakat masing-masing, di samping menggalakkan kaum wanita turut serta dalam aktiviti kampung,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mohd Shazwan berkata, penganjuran berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dan pihaknya sedang merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan Real Segedup.

Juara Penalti Wanita, Bumbum FC.

“Kita akan adakan lagi pada masa akan datang dan sedang dalam perancangan untuk menjadikannya sebagai penganjuran tahunan Real Segedup,” katanya.

Menurutnya, sambutan terhadap kategori wanita membuktikan aktiviti bola sepak dan futsal mampu menjadi medium penyatuan komuniti tanpa mengira jantina, selain memberi peluang kepada pemain wanita mengasah kemahiran dalam suasana pertandingan yang lebih santai dan terbuka.

Dalam saingan Liga Penalti Wanita, Bumbum FC muncul juara dan membawa pulang RM200 serta pingat, manakala Team Zanah menduduki tempat kedua dengan RM150 dan pingat, sementara Lady Warrior FC di tempat ketiga dengan hadiah RM100 dan pingat.

Juara Futsal bawah 12 tahun, Bintulu Andy FC

Anugerah individu turut diberikan apabila Masni Mohri dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala Katty Mat Di dipilih sebagai Penyepak Terbaik, dengan kedua-duanya menerima hamper.

Selain kategori wanita, kejohanan turut membuka ruang kepada pemain muda menerusi Liga Futsal Bawah 12 dan Bawah 18 Tahun.

Kategori Bawah 12 Tahun disertai lapan pasukan membabitkan 35 pemain, manakala Bawah 18 Tahun menampilkan 10 pasukan dengan 48 pemain.
Dalam kategori Bawah 12 Tahun, Bintulu Andy FC muncul juara, diikuti Sri Aman Rafil FC sebagai naib juara dan Kuching Jijul Mon di tempat ketiga.

Bagi Bawah 18 Tahun pula, Morroco Apet FC muncul juara, manakala Belgium Koyong FC dan Spain Jenal Led FC masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Penglibatan 64 pemain wanita dalam edisi kali ini memberi isyarat positif terhadap usaha memperluas penyertaan wanita dalam bola sepak dan futsal di peringkat akar umbi, khususnya melalui program komuniti yang menyediakan ruang pertandingan secara terbuka dan menyeluruh.

Juara Futsal bawah 18 tahun, Morroco Apet FC.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU