Gotong royong bersihkan bandar Bintulu dapat sambutan ramai

BINTULU: Lebih ramai pihak tampil menyertai aktiviti gotong royong membersih bandar Bintulu anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), hari ini.

Aktiviti minggu terakhir ini disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan bukan Kerajaan, kelab dan persatuan serta institusi pengajian tinggi awam yang terdapat di Bahagian ini.

Antaranya, Trihope, Hock Peng, SHEDA Bintulu, SEB AJ Evergrow, BDA Properties, Biro Wanita Kampung Jabai, JAIS Bintulu serta kakitangan BDA sendiri.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada persiapan Bintulu sebagai tuan rumah penganjuran sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.

Aktiviti gotong royong yang telah diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula 22 Jun lalu mendapat sambutan agak memberangsangkan daripada orang ramai khususnya NGO.

Penganjuran aktiviti tersebut juga selaras dengan hasrat BDA menjadikan Bintulu sebagai bandar perindustrian paling terbersih menjelang 2030.

Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Bujang dijangka menghadiri majlis sambutan perayaan tersebut.

Orang ramai bergotong royong membersih dan mengutip sampah sarap sebagai persediaan menyambut Hari Sarawak 22 Julai di Bintulu.