L EBIH 500 bungkus bubur lambuk, kurma dan limau kesturi diagihkan kepada semua kakitangan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi kerajaan berhampiran sempena Ramadan, baru-baru ini.
Program anjuran LGM Wilayah Sarawak dengan kerjasama Persatuan Islam LGM ini diadakan di pekarangan pejabat dengan melibatkan 15 kakitangan.
Pengarah LGM Wilayah Sarawak dan Sabah, Ismail Ibrahim berkata, program ini diadakan untuk mengimarahkan Ramadan serta meningkatkan jalinan ukhuwah dalam kalangan kakitangan LGM serta ahli Persatuan Islam LGM.
“Pengagihan bubur lambuk bermula sekitar jam 3.00 petang ini adalah program tahunan menjelang Ramadan. Tahun ini merupakan tahun kedua program ini diadakan,” katanya.
“Tahun lepas, kami agih 200 bungkus bubur lambuk, tahun ini kami tingkatkan jumlah agihan dua kali ganda dengan dana daripada Persatuan Islam serta sumbangan warga kerja LGM sendiri.
“Untuk itu, kami agihkan bubur lambuk ini kepada jiran berdekatan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak, Mardi Crown dan Yayasan Sarawak,” ujarnya ketika ditemui pemberita di LGM Kuching.
Menurut beliau, bubur lambuk dipilih sebagai sajian pada Ramadan kerana ia sinonim dengan amalan masyarakat yang menzahirkan pemberian makanan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga.
Malah, program memasak dan pengagihan bubur lambuk adalah amalan tradisi yang signifikan kerana ia melambangkan perpaduan dan kesepakatan menerusi makanan dalam menyatukan rakyat Malaysia.
Walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama, jelasnya, perbezaan itu dirai dan diterima oleh semua rakyat Sarawak.
“Tidak dinafikan bubur lambuk sememangnya begitu sinonim dengan Ramadan sebagai kelaziman untuk dinikmati sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadan.
“Bahkan, ia menjadi lambang perpaduan dan kesatuan bagi penganut agama Islam di Malaysia kerana penyediaan bubur itu dilakukan secara bergotongroyong sebelum waktu berbuka puasa,” jelasnya.
Selaras dengan matlamat Ramadan mengajar erti kesyukuran, penyediaan bubur lambuk membawa pelbagai makna serta patut diangkat sebagai makanan rasmi pada Ramadan, ujarnya.
Tegas beliau, pendekatan yang dilakukan menerusi penganjuran program tersebut diharapkan dapat memupuk budaya masyarakat yang prihatin.
“Tujuan utama aktiviti ini dilaksanakan adalah bagi menghidupkan keindahan Ramadan, sekali gus memupuk serta mengamalkan budaya memberi atau bersedekah.
“Marilah kita sama-sama tingkatkan ibadah pada bulan mulia ini dengan memberi sedekah kepada orang ramai untuk berbuka.
“Semoga dengan apa-apa yang diusahakan ini, memberi kebaikan dan manfaat kepada semua dan kembali kepada kita,” ujarnya.
Gimik perasmian agihan bubur lambuk disempurnakan sendiri oleh Ismail sambil disaksikan oleh semua warga kerja LGM. Persiapan penyediaan bahan masakan bubur lambuk dilakukan sehari lebih awal agar proses memasak dan pengagihan dapat dijalankan lebih awal.
Manakala, proses memasak bermula pada jam 9.00 pagi dengan bantuan kakitangan lelaki LGM dan dilakukan secara gotong-royong.





