ALOR GAJAH: Seramai 1,159 anggota polis dikerahkan di seluruh Melaka hari ini untuk memastikan penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berjalan lancar.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, menjelaskan anggota itu mengawal keselamatan dan lalu lintas di 28 pusat penamaan calon di negeri ini.
Sehingga 10.15 pagi, proses penamaan calon berlangsung aman tanpa gangguan atau provokasi, selain lalu lintas di sekitar pusat itu terkawal tanpa kesesakan serius.
Beliau merakamkan penghargaan kepada penyokong parti yang bersikap tenang, di samping memaklumkan polis akan memantau media sosial sepanjang kempen berhubung isu 3R, fitnah, berita palsu dan hasutan.
Menurut Bernama, pada hari pengundian 14 November, kekuatan polis dinaikkan kepada 3,452 anggota untuk bertugas di pusat mengundi dan saluran, dengan kira-kira 1,500 daripadanya datang dari luar Melaka termasuk kontinjen Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.






