KUCHING: Amalan gotong-royong dalam menjayakan sesuatu majlis harus dikekalkan bagi meneruskan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Lo Khere Chiang menegaskan budaya ini diterapkan oleh masyarakat di Kampung Burung Lilin, di sini menjelang majlis perayaan dan merupakan contoh teladan buat komuniti setempat.

“Saya berbangga dengan penduduk di Kampung Burung Lilin yang sentiasa mengamalkan semangat gotong-royong untuk menjayakan sesuatu program atau aktiviti.
“Semangat inilah yang meyakinkan kita bahawa kerjasama antara masyarakat mampu memupuk serta meningkatkan semangat perpaduan di antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Burung Lilin di di arena futsal Winner Court Jalan Arang, baru-baru ini.
Beliau hadir bersama para penduduk Kampung Burung Lilin bagi meraikan kemeriah sambutan majlis terbabit sekali gus merasmikan program pada malam tersebut.
Para pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah serta menu tradisional iaitu nasi ambeng yang merupakan makanan tradisi orang Jawa, burasak yang merupakan nasi impit orang Bugis dan kelupis Limbang bagi makanan orang Limbang.
Majlis turut diserikan dengan beberapa aktiviti melibatkan tetamu dan jemputan seperti karaoke, cabutan bertuah dan juga pertandingan pakaian menarik bagi kategori dewasa dan juga kanak-kanak.
Beliau dalam ucapannya turut mengesahkan menyerahkan sumbangan dana RM3,000 kepada JKK Kampung Burung Lilin dan RM3,000 juga kepada Masjid Bakti Nur Islam.



