KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai beberapa kelebihan strategik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, termasuk rekod pembangunan, kestabilan politik serta kekuatan jentera dan jaringan akar umbi, menurut seorang penganalisis politik.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Atong berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) membuka ruang kepada GPS mendapatkan mandat baharu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“GPS mempunyai kelebihan dari segi jentera, jaringan akar umbi dan rekod pentadbiran.
Faktor ini menjadi modal penting untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan mandat baharu perlu disertai perhatian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan asas dan jurang pembangunan luar bandar.
Menurutnya, rekod pembangunan menjadi antara kekuatan GPS, namun keupayaan memenuhi keperluan rakyat turut menjadi pertimbangan pengundi.
Beliau berkata, isu ekonomi, pemilihan calon tempatan, sentimen autonomi Sarawak, prestasi wakil rakyat dan pengaruh media sosial berpotensi mempengaruhi corak sokongan pada PRN kali ini.
Katanya, GPS perlu memahami perubahan aspirasi pengundi, khususnya golongan muda yang memberi perhatian kepada peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan ketelusan.
“Pengundi muda mempunyai aspirasi tersendiri.
Parti politik perlu menyesuaikan komunikasi digital dan pendekatan kempen dengan keperluan generasi ini, selain mengekalkan hubungan melalui pendekatan tradisional,” katanya.
Dalam pada itu, Romzi berkata, parti pembangkang berpeluang meningkatkan daya saing sekiranya mampu menyatukan sokongan dan mengetengahkan isu setempat yang mendapat perhatian pengundi.
Bagaimanapun, katanya, kekuatan jentera dan jaringan akar umbi GPS serta rekod pentadbirannya kekal sebagai antara faktor penting dalam persaingan PRN akan datang.




