KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berbincang mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan DUN Engkilili selepas penyandang dua kerusi itu, yang merupakan bekas pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB), kini menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).
Perkara itu dinyatakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, susulan penggabungan PSB dengan PDP, yang merupakan salah sebuah parti komponen GPS.
“Tidak apa, kita akan bincang dan lihat. Lagipun hanya dua kerusi (Bawang Assan dan Engkilili),” katanya ketika ditemu bual pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Kerusi DUN Bawang Assan disandang oleh bekas Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang kini dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP.
Manakala bekas Timbalan Presiden PSB, Dr Johnical Rayong Ngipa yang merupakan ADUN Engkilili, dilantik sebagai Naib Presiden PDP.
DUN Bawang Assan dan DUN Engkilili adalah kerusi yang diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), salah satu parti komponen GPS, pada Pilihan Raya Negeri terakhir sebelum ini.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata bagi kerusi Ba’Kelalan, yang disandang oleh Baru Bian, ia tidak menjadi masalah kerana kerusi itu selama ini ditandingi oleh PDP.
Baru Bian, yang juga bekas Setiausaha Agung PSB, turut dilantik sebagai Naib Presiden PDP.
Sementara itu, ditanya sama ada GPS memberi restu kepada PDP untuk menerima bekas ahli PSB, Abang Johari berkata perkara itu telah diputuskan, dengan PSB sudah pun dibubar.
“Anda mesti melihat dari perspektif lain, PSB sudah dibubar, maknanya tiada entiti politik atas nama PSB.
“Mereka (PSB) telah memutuskan, terutamanya pemimpin tertinggi, ADUN bersama-sama penyokong, untuk menyertai PDP,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan PSB itu sebagai menunjukkan bekas parti pembangkang itu telah mengiktiraf dasar Kerajaan GPS.
“Yang paling penting, mereka kini mengakui hakikat bahawa GPS mempunyai hala tuju yang sangat jelas tentang apa yang akan kita lakukan untuk Sarawak.
“Jadi seluruh Sarawak harus bersatu, kita tidak sibuk tentang hal kasut dan sebagainya,” katanya.





