BINTULU: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan DUN Jepak, sekali gus menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.
Beliau memberitahu bahawa Iskandar Turkee merupakan calon yang baik sambil menyeru sokongan padu daripada rakyat supaya mereka dapat meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Bagaimanapun, ada pihak yang masih mahu bertanding.
Memang mereka boleh bertanding kerana kita mengamalkan demokrasi.
Tetapi, mereka harus menghadapi realiti jika mereka tidak mempunyai peluang untuk menang.
“Walaupun mereka menang, apakah agenda yang akan mereka bawa? Mereka harus memikirkan perkara ini.
“Sebaliknya, tidak seperti GPS, kita mempunyai agenda ke arah 2030 iaitu membawa Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu Longi Malaysia Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata Bintulu merupakan pusat pelaburan dan pembangunan selain sektor perkilangan dan juga sektor minyak dan gas (O&G).
Sementara, PRK bagi kawasan Jepak perlu diadakan berikutan pemerguan ADUN berkenaan, Datuk Talib Zulpilip, 72, pada 15 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 21 Oktober, pengundian pada 4 November, manakala pengundian awal pada 31 Oktober.



