KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited merealisasikan hasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma menjelang 2026 dalam membentuk modal insan yang mampu menyokong pembangunan ekonomi.
Menurut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, kritikan yang dilemparkan oleh Setiausaha DAPSY Sarawak, George Lam, bahawa GPS gagal memenuhi janji tersebut adalah tidak berasas.
Abdul Samat menjelaskan bahawa janji pendidikan tinggi percuma yang diumumkan sebelum ini merupakan dasar umum yang memerlukan penelitian dan perincian lanjut bagi memastikan pelaksanaannya dapat mencapai objektif yang diinginkan.
Beliau turut menepis dakwaan kritikan yang kononnya dasar tersebut menyekat kebebasan pelajar.
“Hak untuk memilih kursus tidak semestinya menjamin masa depan yang cerah, terutama jika pilihan itu tidak selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan atau agenda pembangunan ekonomi negara,” tambahnya.
Tambahnya, statistik kebangsaan pengambilan pelajar dalam bidang STEM hanya mencecah 45.73 peratus pada 2023, manakala Sarawak lebih rendah pada 34.68 peratus.
Situasi ini, katanya, memerlukan tindakan segera bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang berkenaan.
“Kerajaan GPS sedang merancang sistem pendidikan yang bukan sahaja menawarkan pendidikan percuma, tetapi juga memastikan pelajar memilih bidang yang relevan dan kritikal untuk menyokong agenda pembangunan negeri menjelang 2030,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar pihak tertentu memahami inisiatif pendidikan tinggi percuma ini dalam konteks yang lebih luas dan berhenti mengkritik secara melulu.
“Kerajaan GPS sentiasa berpandangan jauh, memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri berada di landasan yang betul untuk mencapai status negeri maju dengan pendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.






