ARTIKEL

Abang Johari (tiga kanan) menyempurnakan majlis Localization Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak, di sini. | Foto: Mohd Alif Noni

GPS komited sokong agenda ekonomi melalui bandar lestari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyeru semua pihak berkuasa tempatan melaksanakan perancangan bandar secara mampan dengan jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan meluluskan pelan sedemikian apabila dikemukakan.

Beliau berkata, reka bentuk bandar pada masa hadapan perlu merangkumi lorong khas untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal, selain kawasan hijau yang ditanam dengan pokok serta bunga.

“Apa yang kita mahu ialah ahli majlis mempunyai perancangan yang baik.

“Jika mereka (ahli majlis) datang dengan pelan yang mempunyai laluan pejalan kaki dan kawasan hijau, kita akan luluskan untuk manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis Localization Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak, di sini.

Sementara itu, Abang Johari berkata, penerapan awal sistem pengangkutan awam berkuasa hidrogen menjadikan Sarawak contoh negeri yang benar-benar mengamalkan konsep mobiliti bandar mampan.

Katanya, Kuching telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai bandar bersih, namun matlamat kerajaan adalah memastikan semua bandar lain termasuk Sri Aman, Kapit dan Limbang mencapai tahap yang sama.

“Kita mahu bukan hanya Kuching, tetapi seluruh Sarawak mencapai piawaian yang diiktiraf antarabangsa.

“Ahli majlis mesti proaktif dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” tegasnya.

Abang Johari dalam masa yang sama menggesa supaya amalan kebersihan dijadikan budaya dengan menggalakkan usaha sukarela bagi menjaga kawasan awam dan melindungi masyarakat daripada penyakit.

Beliau berkata, pembangunan mampan serta bandar bersih akan menarik pelancong dan pelabur, sekali gus menyokong agenda ekonomi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ahli majlis mempunyai tanggungjawab seperti wakil rakyat. Alhamdulillah, negeri kita kini dihormati pihak luar kerana cara kita membangun, yang bermakna kita perlu terus membawa idea baharu.

“Kalau Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) datang ke sini, mereka akan berkata ‘oh, Sarawak benar-benar menjadi model negara sedang membangun’.

“Apabila itu berlaku, akan ada peningkatan produktiviti, idea baharu dan kerajaan akan memberi perhatian,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU