GPS sedia berperang  selepas PH permainkan S’wak

KUCHING: Parti GPS sedia ‘berperang’ dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang demi mempertahankan hak rakyat dan negeri ini.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia juga membuktikan ketegasan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presiden Kanan PBB itu mengingatkan setiap ahli GPS di semua peringkat perlu bersiap sedia sepenuhnya bagi menyahut ‘gendang perang’ Abang Johari terhadap PH.

“Semua jentera parti perlu bersedia bukan sahaja dengan turun padang, malah menyantuni akar umbi supaya memahami senario politik semasa,” katanya semalam.

Pada masa sama, Fadillah turut mendesak pemimpin-pemimpin GPS supaya lebih aktif dalam menangkis serangan terhadap GPS di media sosial.

“Semua wakil rakyat dan pemimpin GPS di semua peringkat secara peribadi perlu lebih aktif di media sosial untuk menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan.

“Mereka perlu menyampaikan mesej yang betul kepada rakyat, bukannya bergantung kepada ‘admin’ semata-mata,” ujarnya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menyeru semua lapisan rakyat Sarawak agar menyokong penuh ketegasan Abang Johari yang enggan berkompromi terhadap Kerajaan Persekutuan daripada mencabuli atau melanggar hak-hak Sarawak.

“Hanya GPS, parti jati Sarawak yang bersungguh-sungguh dalam memperjuang serta mempertahankan hak Sarawak ketika ini, sedangkan pemimpin PH Sarawak langsung tidak bersuara ketika projek untuk Sarawak dibatalkan, manakala hak-hak Sarawak dicabar satu persatu.

Katanya Kerajaan Sarawak sudah bosan dengan sikap tidak bersungguh-sungguh Kerajaan Persekutuan dalam membantu Sarawak.

“Kehadiran pemimpin PH di sini Ahad lepas juga adalah semata-mata untuk mengkritik Kerajaan Sarawak, dan bukannya mengumumkan projek pembangunan untuk rakyat Sarawak.

“Pemimpin PH hanya pandai bercakap dan membuat janji kosong. Kita sudah tengok sendiri bagaimana PH bukan sahaja “membakulsampahkan” janji dalam Manifesto PRU14 malah projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak dibatalkan atas alasan tidak ada bajet.

“Namun pada masa sama projek baharu dengan kos lebih tinggi diumumkan di Semenanjung.

Katanya, tidak ada gunanya Kerajaan Sarawak menghulurkan tangan untuk berbaik jika hak-hak Sarawak terus dicabar dan Sarawak dianaktirikan dalam pemberian bajet dan pembangunan.