KUCHING: “Tunggu dulu,” itu jawapan ringkas dberikan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg apabila ditanya mengenai calon GPS yang akan diletakkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Ia susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 4 November nanti sebagai tarikh hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 21 Oktober, hari mengundi awal pada 31 Oktober, dengan tarikh writ pada 25 September.
Bagaimanapun, Premier berkata GPS sudah bersedia bagi menghadapi PRK itu, sekali gus mempertahankan kerusi tradisi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.
“Kita bersedia, hari penamaan calon nanti kita hantar calon, lepas itu mengundilah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Bioteknologi, Perladangan Pintar dan Keusahawanan Untuk Keselamatan Makanan (BioSFE 2023) Teknologi Universiti MARA, Malaysia dan Universiti Chung Cheng Kebangsaan Taiwan di sini, hari ini.
Sebelum ini dalam Majlis Pecah Tanah Loji Gas Pesisir Rosmari-Marjoram Tanjung Kidurong, Abang Johari berkata akan mengetengahkan calon dari PBB.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 5.50 petang disebabkan komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 September lepas.
Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.



