GPS sentiasa bantu rakyat luar bandar

BINTULU: Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha untuk membantu rakyat di kawasan luar bandar terutama penduduk rumah panjang dan kampung agar mereka tidak terpinggir dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ketua politik PDP bagi kawasan P. 217 Bintulu, Ukar Kelayang berkata, ia melalui bantuan geran atau peruntukan yang disampaikan setiap tahun kepada penduduk rumah panjang atau kampung di kawasan masing-masing.

“Geran yang disampaikan sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan kepada anda untuk membantu anda serba sedikit dalam aktiviti dilakukan khususnya membaik pulih atau menaiktaraf rumah panjang atau kampung,

“Kita tahu ia mungkin sentiasa tidak pernah mencukupi tetapi pihak kerajaan berusaha melakukan yang terbaik dengan memberi sebanyak mungkin kepada penerima geran,” katanya pada majlis penyampaian cek Peruntukan Khas Ketua Menteri Sarawak kepada 31 buah rumah panjang di kawasan P.217 Bintulu di bilik mesyuarat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen P.217 Bintulu, di sini.

Penyerahan cek peruntukan khas Ketua Menteri hari ini membabitkan jumlah keseluruhan RM644,000 melibatkan 31 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Samalaju dan Kemena.

Pemberian peruntukan khas ini juga bagi menggantikan peruntukan yang telah dijanjikan kerajaan terdahulu sebelum ditarik oleh Kerajaan Pakatan Harapan setelah mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke- 14 yang lalu.

Ukar, dalam pada itu, menasihati penerima agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan dan diri.

Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif N.67 Jepak, Tuai Rumah Banyang anak Dato hadir sama.