KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan akan meneruskan agenda pembangunan sosio-ekonomi bagi mewujudkan sumber kekayaan baru, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk belia dan generasi akan datang, jika mendapat mandat penuh rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pasukan GPS juga akan meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi untuk Sarawak, pada masa sekarang dan masa depan.
“Kami akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan supaya rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terancang, holistik dan inklusif,” katanya dalam perutusan sempena PRN-12 yang akan diadakan esok.
Beliau yang juga Pengerusi GPS menambah pasukan GPS juga akan sentiasa berusaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia.
Katanya ini terbukti dengan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 (Selasa).
“Esok Sarawak akan membuat keputusan, saya menyeru kepada anda semua agar membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri, untuk keluarga anda, untuk komuniti anda dan untuk Sarawak yang disayangi,” katanya.