SERIAN: Kelab yang semakin digeruni kredibiliti mereka ketika ini, Grace CBF United akan mengadakan sesi pemilihan pemain untuk pembentukan skuad berwajah baharu bagi tahun 2024.
Pengurus pasukan Grazeline Nyirin berkata, pemilihan pemain terbabit untuk membentuk dua pasukan iaitu skuad bola sepak dan futsal.
“Kita akan mengadakan sesi pemilihan pemain untuk membentuk skuad bola sepak dan futsal bagi menghadapi musim baharu 2024.
“Tarikhnya belum diputuskan lagi dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujar Grazeline kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau memberitahu, pihak komited untuk membentuk kedua-dua pasukan terbabit sebagai persediaan menghadapi sebarang kejohanan berprestij musim depan.
“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, pemain yang terpilih menyarung jersi pasukan Grace CBF United musim depan akan disediakan beberapa kemudahan.
“Keutamaan kita adalah kebajikan pemain dan mereka yang terpilih kelak akan turut mendapat manfaat tersebut,” tambah Grazeline lagi.


