SINGAPURA: Sarawak komited memperkukuh sistem bekalan air menerusi pelaksanaan grid air, pendigitalan sektor air serta kerjasama strategik serantau bagi memastikan kelestarian dan kecekapan bekalan air untuk jangka panjang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan air bersih dan selamat menjelang tahun 2030.
“Kami komited untuk mencapai liputan penuh bekalan air yang selamat dan boleh dipercayai di seluruh Sarawak menjelang 2030.
Pendigitalan dan teknologi pintar juga akan memainkan peranan utama pada masa hadapan,” katanya semasa berucap pada Minggu Air Antarabangsa Singapura 2026, di sini, pada Selasa.
Menurut Julaihi, Sarawak kini melihat potensi baharu dalam sektor air termasuk kemungkinan air dijadikan komoditi yang boleh diniagakan secara serantau bagi manfaat bersama.
“Sumber air Sarawak yang banyak membuka peluang untuk air diniagakan sebagai komoditi dengan negara jiran bagi manfaat ekonomi bersama,” ujarnya.
Bagaimanapun, Julaihi menegaskan bahawa setiap pembangunan dan potensi ekonomi baharu yang diterokai perlu dilaksanakan dengan mengekalkan prinsip kelestarian, perlindungan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan antarabangsa amat penting dalam memperkukuh inovasi serta memastikan sistem bekalan air yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan. – TVS



