PAKAN: Gerempung Pakan Raban (GRP) merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa cawangan lain dan sentiasa menjalankan kerja kebajikan untuk membantu masyarakat di kawasan tersebut.
Pengerusi GRP, Jerenang Jawa berkata GRP bekerja untuk komuniti berdasarkan misi dan visi persatuan yang ditubuhkan pada tahun 2016.
“Sejak penubuhan dan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kami telah aktif dalam memberikan bantuan kepada komuniti di Pakan.

“Bukan itu sahaja, kami juga membantu institusi seperti sekolah dan klinik, malah semua bantuan yang disampaikan memberi impak kepada keperluan komuniti di Pakan,” katanya.
Jerenang menjelaskan bahawa keutamaan turut diberikan kepada kebajikan ahli persatuan yang kini mencecah lebih 300 orang.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak dan Kutipan Dana GRP 2026 yang dirasmikan oleh Tan Sri William Mawan Ikom, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata GRP akan melakukan yang terbaik untuk membantu kerajaan membangun dan menyampaikan dasar kepada rakyat.

“Menyampaikan dasar kerajaan juga merupakan tanggungjawab GRP dalam membantu kerajaan menerangkannya kepada rakyat supaya dasar tersebut lebih difahami,” katanya.
Beliau turut berkata GRP sentiasa melibatkan pelbagai agensi kerajaan dalam penganjuran aktiviti selaras dengan usaha memberi perkhidmatan kepada komuniti di Pakan.
Katanya, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti Kempen Kesedaran Kebakaran, Kempen Pembasmian Dadah bagi mencegah penularan dalam komuniti dan lain-lain.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Pengerusi Penganjur Johnny Banyang, Dr Jawie Jinggot @ Jenggot, NGO di Pakan, Julau, Sarikei serta individu yang membantu menjayakan program tersebut.



