GST: Terpulang kepada Perdana Menteri

KUCHING: “Terpulanglah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” demikian respons Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengulas saranan melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau berkata tidak tahu tujuan sebenar Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini memansuhkan GST. Sistem GST dengan kadar enam peratus dimansuhkan kerajaan PH selepas menjanjikannya ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ia digantikan dengan SST yang mengenakan kadar 10 peratus cukai kepada barangan dan enam peratus kepada perkhidmatan.

“Saya tidak tahulah, sekejap tolak sekejap ambil,” katanya semasa ditemu bual selepas menyempurnakan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Sarawak 2019 di sini, semalam.

Menjelang PRU lalu isu GST menjadi isu utama yang dieksploitasi dalam kempen PH di sebalik kos sara hidup yang tinggi. Ia terkandung dalam janji utama 100 hari manifesto PH untuk mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif sara hidup. SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018.

Terdapat dua jenis cukai berbeza di bawah SST yang ditadbir melalui perundangan berasingan, iaitu Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807)

Sistem cukai berkenaan gagal meredakan tekanan kos sara hidup rakyat manakala kerajaan kehilangan sekitar RM22 bilion kerana menghapuskan GST.