PROGRAM Back To School Gunting Rambut Percuma ialah salah satu inisiatif bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa.
Memandangkan kos sara hidup pada masa ini sangat tinggi, ia sedikit banyak dapat membantu ibu bapa dari segi persediaan anak untuk ke sekolah.
Tidak dinafi kan, dengan kenaikan harga barang dan peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus, ramai ibu bapa yang menyuarakan nasib masing-masing di Facebook.
Ramai antara mereka yang risau dengan nasib pada bulan ini kerana perlu menyediakan persiapan untuk anak masuk ke sesi persekolahan 2024/2025 dan menyambut Ramadan.
Pun begitu, saya percaya ramai ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan barang keperluan anak-anak supaya mereka dapat belajar dengan selesa.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari, kita tidak boleh menyalahkan tukang gunting rambut apabila mereka mengenakan caj perkhidmatan — menjadikan harga sedikit meningkat.
Ini kerana, masingmasing mencari cara untuk menghadapi ekonomi yang semakin mencabar.
Berbalik kepada program gunting rambut percuma ini, ia sememangnya dilihat membantu ibu bapa terutamanya mereka yang mempunyai bilangan anak ramai dan masih bersekolah.
Malah, keperluan untuk berambut kemas wajib untuk pelajar sekolah.
Sehubungan itu, ia dapat menyuntik semangat anak-anak untuk ke sekolah pada sesi persekolahan baharu.
Baru-baru ini, Masjid Setia Raja Mukah menganjurkan program gunting rambut percuma terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tetapi dihadkan kepada 100 pelajar.
Walaupun ia merupakan anjuran masjid, tetapi anak-anak daripada pelbagai agama dialu-alukan untuk hadir menyertai program ini.
Memandangkan komuniti di Mukah terdiri daripada pelbagai agama, sekali gus program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim ibu bapa dan pelajar yang menyertainya.
Program yang diadakan pada hujung minggu itu juga dilihat bersesuaian dengan masa ibu bapa untuk membeli barang keperluan anak-anak mereka.
Di samping itu, ramai ibu bapa berharap program seperti ini diteruskan sampai bila-bila dan wajar kerap diadakan bukan sahaja ketika sesi persekolahan baharu.
Ini kerana, ia membantu meringankan beban mereka dari segi kewangan kerana harga gunting rambut untuk seorang anak mencecah RM8 hingga RM15.
Dalam pada itu, ibu bapa juga berterima kasih kepada penganjur kerana memudahkan urusan mereka dengan membawa tukang gunting rambut untuk menjayakan program ini.
Justeru, program yang memanfaatkan ramai orang seperti ini perlu diteruskan dan disokong oleh pihak kerajaan.



