ARTIKEL

Guru Insani didik generasi madani

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ESOK 16 Mei merupakan sambutan Hari Guru, yang diraikan saban tahun bagi memperingati dan menghargai sumbangan serta jasa insan bergelar cikgu.

Cikgu, terima kasih atas ilmu yang dicurahkan!

Dengan ilmu yang diturunkan, ada orang kecil yang tidak punya apa-apa, kini bergelar orang besar yang dihormati.

Kerana jasanya, guru berjaya mendidik, menjadikan seseorang itu manusia bermanfaat.

Tahun ini, sambutan Hari Guru bertemakan “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.

Konsepnya, membangkitkan roh dan jiwa guru ke arah memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru untuk pembinaan negara bangsa, Malaysia Madani.

Guru Kreatif

Dan ia juga memfokuskan kepada kesediaan para guru mendukung aspirasi Falsafah Pendidikan Guru dengan memberi penekanan kepada tiga teras. Pertama, jati diri dan kenegaraan.

Kedua, roh dan jiwa guru. Ketiga, pengetahuan dan kemahiran.

Sementara objektif sambutan, menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan semangat kebangsaan termasuk perpaduan dan integrasi, pembangunan negara serta perkhidmatan kepada masyarakat.

Selain itu, menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai terhadap peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Sambutan juga berupaya memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Bahkan, meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Ia juga memberi peluang memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Seterusnya, menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah supaya peranan itu berkesan.

GURU DULU DAN KINI

Secara dasarnya, tiada perbezaan antara guru zaman dahulu dengan sekarang. Kerana tugas utamanya ke sekolah mengajar, mengajar dan mengajar dengan harapan setiap kita menjadi pandai.

Tetapi yang berbezanya apabila kita mencerakinkannya kepada banyak perkara.

Dari sudut cabaran, kemudahan, gaji, banyak sedikit kerja, bahkan pelbagai lagi.

Tetapi, ramai pihak mendakwa guru dulu seronok.

Sekarang seolah-olah dihujani beban.

Adakah dahulu tiada beban?

Wahai insan bergelar guru, renungkan dan jawab untuk diri sendiri.

Penulis optimis, masingmasing mempunyai pandangan tersendiri.

Kita tidak dapat menyalahkan sesiapa, kerana yang memilih kerjaya itu kita sendiri.

Penulis petik kata-kata penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022 Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, yakni anugerah tertinggi yang diberikan sempena Hari Guru tahun lalu.

Katanya, menggalas tanggungjawab sebagai guru bukan tugas mudah pada hari ini.

Jika dibandingkan tugas guru 10 atau 20 tahun dulu, ia jauh sekali berbeza! Mengapa? kerana guru pada zaman serba canggih ini dilihat bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada tugas mengajar, tetapi juga tugas pentadbiran.

Bagaimanapun, sebagai guru yang profesional dengan menghadapi cabaran baharu yang akan datang, ia seharusnya menimbulkan kreativiti guru itu.

Dan percayalah, individu yang mampu menempatkan dirinya dalam ruang lingkup dunia pendidikan dianggap sangat luar biasa.

Pepatah guru membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain membuktikan profesion seorang guru itu cukup mulia dan diagung-agungkan.

Di samping panggilan ‘cikgu’ yang diterima kekal sehingga ke mati.

Wahai guru, berbanggalah dengan profesionalisme yang anda pegang. Tanpa guru tidak akan ada orang bijak pandai.

TUNTUTAN

Tahun lalu sedikit kecoh tentang peningkatan guru yang memilih bersara awal dan rasanya isu ini belum reda.

Masih berlegar-legar kerana kononnya dah tak seronok macam dulu jadi cikgu! Alasannya seperti yang pernah disebut beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dahulu, wujud keperluan untuk memenuhi tugas sampingan yang pelbagai termasuk kerja perkeranian.

Antara lain kerenah birokrasi, terlalu cerewet dan sikap pilih bulu sebahagian pentadbir sekolah.

Isu guru veteran yang sukar mengadaptasikan kaedah terkini yang lebih moden, sehingga mereka ketinggalan dalam menerokanya.

Begitu juga, perkara berkaitan kekurangan guru yang lambat ditangani oleh kementerian berkaitan.

Namun, pada awal tahun lalu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nampaknya sudah mengeluarkan ubat.

Ada tujuh janji tentang tindakan drastik diambil KPM dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Ia memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh para guru.

Sehingga kini pertengahan 2023, lebih dua bulan sesi persekolahan berlangsung… tindakan itu diharap sudah dilaksanakan sebaik-baiknya.

GURU ERA TEKNOLOGI

Perkembangan teknologi benar-benar mengubah cara hidup, termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) agar tidak membosankan, terutama dalam penggunaan peralatan canggih.

Pastinya, guru harus menyahut seruan ke arah transformasi dan tidak menganggapnya sebagai beban.

Guru perlu kreatif dalam aspek digital. Negara mungkin belum bersedia mengikut jejak negara maju, sekurang-kurangnya usaha awal itu sudah ada.

Kemajuan dalam teknologi mesti diambil peluang oleh semua untuk mengembangkan strategi PdP pada masa hadapan.

Seterusnya, fikirkan ke arah amalan hibrid yang pastinya lebih terbuka.

Mungkin tidak secara drastik dan terlalu meluas, tetapi kita mesti bermula.

Guru, anda merupakan tonggak utama transformasi yang diharapkan agar negara tidak ketinggalan.

Budaya PdP konvensional memang masih relevan, tetapi kita tidak harus selesa di takuk lama.

Bukalah pemikiran anakanak didik dengan sesuatu yang dikehendaki oleh dunia pendidikan masa depan.

Terima kasih guru Malaysia. Bersemangatlah melahirkan cendekiawan bijak pandai yang hebat, yang tidak lupa nilai murni orang timur.

BERITA LAIN

Awas cuaca panas, jerebu

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan insiden strok haba dan demam yang melibatkan kanakkanak. Ia disebabkan keadaan cuaca panas atau fenomena El Nino yang turut dipengaruhi

Rumah terakhir di dunia

DALAM tempoh kurang setahun, saya dikejutkan dengan pemergian empat saudara terdekat. Ada yang “pergi” kerana disahkan tidak ada harapan dan ada yang mati mengejut. Kurang

TVET BUKAN PILIHAN TERAKHIR

MENGIMBAU zaman di bangku sekolah menengah pada belasan tahun dahulu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering menjadi pilihan terakhir bagi para pelajar yang

KUCING TERAPI AUTISME

TRAGEDI menimpa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 6 Disember lalu menyentuh hati rakyat

16 jam ‘terperangkap’ di laut

SARAWAK terkenal dengan geografinya yang luas, begitu juga dengan perairannya antara terbesar di Asia. Atas faktor keluasan itu, maka tidak hairan perairan Sarawak memerlukan jumlah

Agrobank iktiraf sumbangan wartawan

AGROBANK melakar sejarah tersendiri apabila menganjurkan Majlis Anugerah Media Agrobank 2024 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 29 Mei lalu Agrobank amat berbesar hati memberi

BERITA TERBARU