KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan hukuman penjara seorang guru kaunseling berjalan secara serentak selama 15 tahun dan mengekalkan 24 sebatan selepas rayuannya ditolak bagi enam pertuduhan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan perayu berusia 35 tahun itu bagi mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 21 Oktober 2022.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 90 tahun dan 24 sebatan selepas perayu didapati bersalah atas kesemua enam pertuduhan.
Mengikut keenam-enam pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan, memeluk, dan meraba paha enam orang mangsa berusia 14 hingga 16 tahun.
Dia melakukan perbuatan terkutuk itu dalam kejadian berasingan pada bulan Mac, April, dan Mei 2018 di beberapa tempat di asrama lelaki sekolah berasrama penuh di sini.
Oleh itu, perayu yang berasal dari Sabah itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta yang sama.
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan bagi setiap satu pertuduhan dan diperintahkan berjalan secara berturut-turut.
Berdasarkan fakta kes, perayu menyentuh kemaluan kesemua mangsa, menyentuh paha, serta memeluk salah seorang mangsa untuk tujuan seksual.
Kesemua mangsa membuat laporan polis, dan hasil siasatan mendapati ada antara mangsa telah berhadapan situasi sedemikian beberapa kali sebelum itu.
Difahamkan, sejak didakwa untuk kes ini pada 2018, perayu digantung kerja dan telah melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarganya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof.



