KUCHING: Guru kaunseling kini memainkan peranan penting selaku barisan hadapan dalam membimbing pelajar membuat keputusan tepat berkaitan hala tuju pendidikan dan kerjaya selari dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Darat), Datuk Dr Jerip Susil berkata, dalam landskap pendidikan hari ini yang semakin dinamik, cabaran utama bukan lagi kekurangan peluang, tetapi memastikan maklumat tersebut disampaikan secara tepat, cepat dan menyeluruh kepada kumpulan sasaran.
“Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier, pembangunan modal insan kini dilihat bukan sekadar agenda sosial, tetapi sebagai strategi ekonomi yang kritikal.

“Pelaburan dalam pendidikan, peningkatan kemahiran dan latihan berasaskan industri sedang diselaraskan dengan keperluan ekonomi masa hadapan yang berteraskan teknologi, inovasi dan nilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rakan Komuniti TEGAS 2026 di Tegas Digital Village di sini hari ini.
Sehubungan itu, Jerip yang juga Timbalan Pengerusi Amanah TEGAS berkata program Rakan Komuniti TEGAS merupakan sebuah inisiatif libat urus strategik yang memperkukuh rangkaian penyampaian maklumat pendidikan secara terus ke peringkat akar umbi.
Katanya, program seumpama ini memainkan peranan langsung dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat seperti yang diuar-uarkan oleh Premier.
“FTES adalah satu bentuk bantuan pendidikan dan merupakan satu reformasi dasar yang mengubah landskap akses pendidikan tinggi di Sarawak secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.
“Buat pertama kalinya, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tidak lagi ditentukan oleh kemampuan kewangan semata-mata, tetapi berasaskan potensi dan keupayaan anak-anak Sarawak,” katanya.
Dalam konteks ini, kata Jerip, guru kaunseling memainkan peranan dalam memastikan maklumat mengenai FTES ini sampai kepada pelajar dan ibu bapa, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan akses maklumat.
“Program seperti ini memperkukuh keupayaan kita untuk merapatkan jurang tersebut, sekali gus memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menikmati manfaat dasar yang telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Lebih membanggakan, pelaksanaan FTES turut menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai pelajar mula menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kursus pengajian berimpak tinggi yang sejajar dengan keperluan industri masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kwang Law, Penolong Pegawai Latihan Vokasional mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Lawrence Entinggie dan Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning (TCIL), Fredrick Kevin Buseli.


