KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak dua rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang guru sekolah rendah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 12 tahun, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin mengeluarkan perintah berkenaan terhadap tertuduh berusia 47 tahun selepas Timbalan Pendakwa Raya Aida Nurdiana Che Kamarulzaman memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik rayuan kes selepas menimbang semula keputusan Mahkamah Sesyen.
Pendengaran kes rayuan hari ini, tertuduh diwakili peguam Shankar Ram, Russell Lim dan Yu Ying Ying.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan tanpa perlu membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Di akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati saksi ketiga kes iaitu mangsa telah menimbulkan kekeliruan membabitkan lokasi kesalahan dilakukan serta memberi keterangan bercanggah.
Guru terbabit didakwa atas lima pertuduhan serta mengikut seksyen kanun keseksaan yang berbeza.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual dengan cara menyentuh tubuh badan, mencium mulut, dahi dan tubuh badan, memeluk serta menghisap kemaluan mangsa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan guru terbabit dalam sebuah tandas lelaki dan stor sebuah sekolah rendah di Petra Jaya, sekitar April hingga Julai 2019.
Sementara itu, pertuduhan keempat mengikut Seksyen 14(b) SOACA 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan serangan seksual terhadap mangsa sama, dengan cara menyuruh mangsa menghisap kemaluan tertuduh di sebuah tandas lelaki di sekolah sama, sekitar Ogos 2019.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh dituduh meransang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau iaitu menyuruh mangsa memasukkan kemaluannya ke dalam dubur tertuduh dalam satu kejadian di tandas lelaki sekolah yang sama. antara April hingga Julai 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, mangsa menceritakan kejadian terbabit kepada neneknya dan kemudian memberitahu bapa mangsa.
Bapa mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.