ARTIKEL

Guru Nadi Bentuk Generasi Masa Depan Negara – Ahmad Zahid

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata di sebalik kejayaan seseorang sama ada sebagai doktor, jurutera, usahawan, pemimpin atau individu berjaya, pasti ada guru yang sabar mendidik dan membentuk peribadi mereka.

“Seorang guru mungkin tidak selalu disebut namanya, tetapi jasanya sentiasa terpahat dalam kehidupan anak-anak didiknya.

“Dalam tegasnya ada kasih, dalam penatnya ada tanggungjawab dan dalam setiap ilmu yang dicurahkan, ada harapan besar untuk melihat anak bangsa berjaya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata tema sambutan Hari Guru 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”, mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan dan keikhlasan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.

“Para guru merupakan nadi yang menggerakkan kekuatan ilmu dan mencorakkan masa depan bangsa. Tanpa guru, tidak akan lahir generasi yang berilmu, beradab dan mampu memimpin negara ke arah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, bandar raya Ipoh, Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka dalam mendidik serta membentuk generasi masa depan negara.

Menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Hari Guru 2026 esok, beliau berkata tema “Guru Bitara Nadi Negara” amat bertepatan dalam menggambarkan peranan besar guru sebagai tunjang kekuatan negara.

“Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu di bilik darjah, malah menjadi pembimbing, pembentuk sahsiah dan pencetus harapan kepada setiap anak bangsa untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Ramanan berkata di sebalik setiap individu berjaya, pasti ada seorang guru yang pernah mendidik, membimbing dan memberi semangat tanpa mengenal penat lelah.

“Saya amat menghargai komitmen dan kesungguhan para guru yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin berkembang.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan guru tidak mampu dibalas dengan kata-kata. Namun, seluruh rakyat Malaysia pastinya sentiasa menghargai segala usaha dan bakti yang telah dicurahkan demi masa depan anak-anak dan kemajuan negara,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU