KUCHING: Tenaga pengajar di lima Tadika SeDidik Penan yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan Awal KanakKanak di Universiti Terbuka Malaysia bakal menamatkan pengajian pada suku pertama 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kelima-lima guru tersebut memulakan pengajian mereka sejak September 2022 secara separuh masa.
“Mereka ini akan menjalankan pengajian dan meninggalkan tempat mengajar masingmasing ketika musim cuti persekolahan.
“Justeru, menjelang 2025 nanti guru ini akan menamatkan pengajian dan menerima sijil diploma,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Diploma Pendidikan Awal KanakKanak di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, semalam.
Sebalum dinaik taraf sebagai Tadika SeDidik Penan, lima pusat pendidikan awal kanak-kanak itu adalah di bawah Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh Miri.
Tadika yang terlibat itu adalah di Long Leng, Ba’ Selulong, Long Kerangan, Long Kawa dan Long Jenalong.
Selain itu, Tadika SeDidik Penan di kawasan Apoh/Tutoh Miri itu bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Julai kelak.
Sehubungan itu, Fatimah memaklumkan kos pembinaan bangunan tadika tersebut dilaksanakan menerusi projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui kementeriannya dengan dana berjumlah kira-kira RM2.7 juta.
“Selepas diambil alih oleh SeDidik, kita membiayai kos pengoperasian, gaji guru dan sebagainya,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Tadika SeDidik Penan bersedia untuk menawarkan pendidikan berasaskan komuniti sekiranya bilangan murid atau kanak-kanak di dalam kelas kecil kerana memahami bilangannya sentiasa berubah-ubah.
“Kita boleh menawarkan kelas bersifat kemahiran seperti kraf tangan kerana mereka sangat baik dalam bidang ini.
Dengan kemahiran tambahan, mereka juga dapat mengangkat produk ke tahap yang lebih baik.
“Selain itu, kita boleh menyediakan pendidikan berkaitan kesihatan, kebersihan, pertanian dan banyak lagi dalam komuniti tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Fatimah memaklumkan KPWK menerusi Sedidik menyasarkan 100 peratus gurunya memiliki sekurangkurangnya Diploma Pendidikan Awal KanakKanak menjelang 2025.
“Justeru, dengan usaha yang dijalankan ketika ini saya yakin perkara tersebut akan dapat dicapai,” ujarnya.