KUCHING: Pendekatan mesra pelabur dalam projek tenaga hijau di Sarawak perlu dilaksanakan melalui levi karbon dengan memastikan pengelakan percukaian berganda supaya ia tidak membebankan pelabur.
ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, ia bagi memastikan levi karbon ini tidak dianggap sebagai beban kewangan kepada pelabur.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak harus mendapatkan persetujuan Kerajaan Persekutuan memandangkan akta yang bakal diluluskan, Akta Perubahan Iklim, membolehkan pengenaan cukai karbon ke atas pelabur.
“Industri yang telah membayar levi karbon kepada Kerajaan Sarawak harus dikecualikan daripada membayar cukai karbon persekutuan bagi memastikan ia tidak menimbulkan beban kewangan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan atas bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025, dan usul untuk merujuk resolusi anggaran perbelanjaan pembangunan 2026 di sini, hari ini.
Adam menambah, levi karbon dan cukai karbon persekutuan masa depan bertujuan mengurangkan pelepasan gas terjadual serta melindungi alam sekitar, satu tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Namun begitu, pengenalan levi karbon tidak seharusnya hanya dianggap sebagai penalti terhadap sektor minyak, gas dan tenaga. Objektif utamanya mestilah untuk mengurangkan pelepasan karbon ke dalam alam sekitar.
“Seiring dengan pengenaan levi karbon, mesti wujud peluang bagi sektor-sektor ini untuk mengurangkan tahap pelepasan mereka. Fasiliti juga perlu disediakan untuk syarikat minyak dan gas menyimpan karbon dioksida yang berjaya ditangkap daripada petroleum yang dihasilkan di Sarawak.
“Pelaksanaan yang lebih berkesan dalam penanaman semula dan pemulihan hutan di bawah Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) juga diperlukan untuk menjana lebih banyak kredit karbon agar para pelabur boleh melabur dalam projek-projek ini atau memperoleh unit kredit karbon Sarawak bagi mengimbangi levi karbon,” katanya.
Seperti di Singapura, kata Adam, levi karbon perlu dirangka sebagai langkah fiskal untuk memberi insentif kepada pengurangan atau mitigasi pelepasan karbon dioksida dan bukan semata-mata sebagai penalti untuk menjana hasil negara.
Pelepasan gas, katanya, harus ditentukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah Seksyen 8(1) Ordinan Pengurangan Gas Rumah Kaca apabila sebarang pelepasan melebihi had akan dikenakan levi karbon.
“Sebelum menetapkan had ini, kerajaan perlu menjalankan kajian bagi memastikan ia membolehkan Sarawak mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050 tanpa membebankan sektor minyak, gas dan tenaga untuk mematuhinya,” jelasnya.



