KUCHING: Cadangan pengenaan had tempoh tetap bagi jawatan Premier Sarawak dilihat sebagai langkah yang tidak praktikal serta tidak wajar dilaksanakan buat masa ini.
Naib Presiden Kanan, Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, perkara itu mengambil kira fasa transformasi besar serta tanggungjawab unik yang sedang dipikul oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan menjelaskan, walaupun matlamat had tempoh bertujuan mencegah pemusatan kuasa serta memastikan pembaharuan kepimpinan, konteks semasa Sarawak memerlukan kesinambungan kepimpinan bagi menyempurnakan agenda pembangunan jangka panjang negeri.
“Di bawah kepimpinan Premier, Sarawak sedang menjalani transformasi struktur yang melibatkan pemulihan hak perlembagaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), autonomi fiskal yang lebih luas, serta usaha memposisikan negeri ini sebagai ekonomi maju berpendapatan tinggi.
“Ini adalah inisiatif jangka panjang yang memerlukan kesinambungan kepimpinan, memori institusi yang mendalam dan autoriti politik yang stabil,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Soon Koh menambah pengenaan had tempoh secara tegar boleh menjejaskan konsistensi dasar, merencatkan projek pembangunan serta melemahkan kedudukan Sarawak dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan melibatkan hak negeri, hasil dan bidang kuasa.
Beliau menegaskan, kepimpinan Premier bukan bermatlamat untuk kepentingan peribadi, sebaliknya memfokuskan kepada pembinaan institusi, perancangan strategik dan pembangunan jangka panjang demi manfaat rakyat.
“Sejarah pembangunan menunjukkan bahawa dalam tempoh transformasi ekonomi dan pembangunan struktur, kesinambungan kepimpinan berwawasan adalah penting bagi memastikan kejayaan dasar serta projek pembangunan.
“Sarawak kini berada pada titik perubahan kritikal dan pengenaan had tempoh pada ketika ini bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menjejaskan kestabilan serta kelangsungan pelaksanaan dasar,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa isu utama bukanlah kepentingan prinsip had tempoh tersebut, tetapi kesesuaian pelaksanaannya mengikut garis masa pembangunan Sarawak.
Jelasnya, pemberian ruang masa yang secukupnya kepada Premier bagi menyempurnakan peralihan bersejarah ini merupakan manifestasi tadbir urus yang bertanggungjawab dan pragmatik, bukannya satu penyimpangan daripada nilai demokrasi.
Sebelum ini, Senator Abun Sui Anyit berpendapat langkah Kerajaan Persekutuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun wajar diperluaskan kepada jawatan Premier Sarawak serta ketua kerajaan negeri yang lain.
Beliau mencadangkan agar pembaharuan tersebut dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Negeri masing-masing selaras dengan kuasa serta bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.



