Hadi hanya tetamu, kata Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyelar Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (Dap) Sarawak, Chong Chieng Jen sebagai individu berfikiran cetek.

Abang Johari berkata demikian untuk membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh Chieng Jen pada Khamis apabila memberitahu pertemuan Ketua Menteri dengan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dalam kunjungan hormat minggu lalu sebagai kesatuan tidak suci (unholy union).

Tegas Abang Johari, perkara yang sebenarnya ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan kunjungan hormat terhadapnya dan turut dihadiri oleh Hadi.

“Hadi menyertai rakan sama parti dengannya mengadakan kunjungan hormat terhadap saya.

“Sebagai seorang tetamu, tidak mungkin saya menghalau beliau (Hadi) daripada bertemu dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Perasmian Ekspo Sheda di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Menurut Abang Johari lagi, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sebagai tetamu saya menerima kunjungan hormat meskipun berbeza fahaman politik yang bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

“Saya sedar terdapat individu yang memutarbelitkan pertemuan saya dengan Hadi dan saya berpendapat mereka berfikiran cetek,” jelasnya.

Tegasnya, dalam pertemuan terbabit, tiada perbincangan mengenai kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Pas.

“Terengganu seperti Sarawak sebagai salah satu negeri pengeluar minyak.

“Jadi, kita berbincang mengenai hasil minyak di negeri masing-masing dan saling bertukar pendapat,” ujarnya.

Abang Johari memberitahu, kunjungan hormat yang diterima olehnya sepatutnya tidak perlu dipolitikkan.

“Susahlah jika fahaman politik terlalu cetek.

“Bagaimana pula Karim (Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah) melawat Violet (Adun Pending, Violet Yong) yang ditahan di hospital?,” soalnya.

Suara Sarawak