BINTULU: Tawaran hadiah keseluruhan melebihi RM100,000 dijangka menjadi pemangkin kepada penyertaan pemain bola pikel dari seluruh negara dalam Kejohanan Piala Pickleball PDP x Garden Wine 2.0 2026 yang akan berlangsung di Brickfield Court, Bintulu dari 6 hingga 8 November depan.
Kejohanan anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) bersama Garden Wine & Dine itu dijangka menjadi antara pertandingan bola pikel terbesar di Sarawak tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai antara destinasi penganjuran acara sukan yang semakin berkembang.
Edisi kedua kejohanan berkenaan mempertandingkan empat acara utama iaitu Terbuka Berpasukan, Tiga Berpasukan, Terbuka Individu dan Tertutup Bintulu yang menawarkan peluang kepada peserta untuk bersaing dalam format berpasukan mahupun individu.
Penganjuran kejohanan itu dilihat selari dengan perkembangan pesat sukan tersebut dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia, selain menyaksikan peningkatan jumlah pemain dan penganjuran pertandingan di seluruh negara.
Dengan ganjaran lumayan yang ditawarkan, kejohanan berkenaan dijangka menarik penyertaan pemain berpengalaman serta bakat baharu yang mahu menguji kemampuan mereka dalam saingan kompetitif.
Pendaftaran bagi semua kategori kini dibuka dan akan ditutup pada 28 Oktober depan.
Selain menawarkan hadiah wang tunai yang menarik, kejohanan ini turut dijangka menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti sukan bola pikel serta meningkatkan lagi populariti sukan berkenaan di Sarawak.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, boleh diperoleh dengan menghubungi Stella Wong di talian 019- 8545111.


