ARTIKEL

Hairee Francis mahu lagu Iban tembusi pasaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penyanyi, penulis lagu, penggubah dan penerbit muzik Iban, Hairee Francis, mahu karya berbahasa Iban menembusi pasaran yang lebih luas, sekali gus membuktikan muzik dari Sarawak mampu berdiri sama tinggi dengan karya dari Semenanjung dan luar negara.

Hairee, 31, berkata, beliau sentiasa menyasarkan pasaran yang lebih besar setiap kali menghasilkan lagu kerana percaya bahawa bahasa bukan penghalang untuk seseorang menikmati sesebuah karya muzik.

Menurutnya, masyarakat hari ini mampu menikmati lagu dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Korea, Indonesia, India dan Cina, walaupun tidak memahami sepenuhnya maksud lirik.

“Begitu juga dengan lagu Iban atau lagu Sarawak.

Walaupun orang luar mungkin tidak memahami bahasanya, mereka masih boleh menikmati melodi, susunan muzik dan video muzik yang dihasilkan.

“Itulah yang Hairee cuba capai. Hairee mahu muzik Iban turut didengari dan dinikmati oleh masyarakat di luar Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), baru-baru ini.

Hairee yang berasal dari Simanggang itu kini semakin dikenali menerusi karya seperti Udah Teleba, Kela Kendit dan Minta Tulung, selain aktif menghasilkan lagu untuk artis tempatan dan nasional. Antara karya yang pernah dihasilkannya termasuk Maya Hari Gawai nyanyian Baby Shima dan Rami Time oleh Bob Yusof.

Menyentuh pencalonannya dalam AIM25, Hairee mengakui terkejut apabila berjaya berada dalam kelompok lima terbaik, apatah lagi bersaing dengan nama besar dalam industri muzik negara.

“Pada mulanya, Hairee benar-benar terkejut.

Daripada hanya seorang anak Sarawak, tiba-tiba tercalon dalam kelompok lima terbaik untuk AIM.

“Hairee sangat bangga.

Menang atau tidak bukan perkara utama kerana pencalonan itu sendiri sudah memberikan pengalaman baharu.

Dalam buku Hairee, Hairee sudah menang,” katanya.

Sebagai anak Sarawak, beliau turut menyifatkan pemilihan Sarawak sebagai lokasi penganjuran AIM sebagai sesuatu yang membanggakan kerana membuka ruang untuk memperlihatkan perkembangan industri kreatif negeri itu kepada masyarakat luar.

Pada masa sama, Hairee mengakui setiap kritikan terhadap karya dan video muziknya diterima sebagai ruang untuk memperbaiki mutu penghasilan.

“Jangan mudah menyerah, jangan peduli apa-apa orang cakap dan jangan takut untuk menjadi unik.

“Jangan takut mengambil risiko kerana kita hidup hanya sekali.

Lebih baik dikritik daripada diabaikan,” katanya.

Hairee kini giat menghasilkan karya baharu untuk beberapa artis di bawah Francis Five Productions dan terbuka untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Semenanjung bagi memperluas lagi jaringan muziknya.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU