KUCHING: Hak autonomi Sarawak tidak harus diketepikan dalam keputusan nasional yang melibatkan kemasukan mana-mana kumpulan pelarian masuk ke negeri ini.
Wakil belia Sarawak ke UNICEF Young Persons Advisory Group (YPAG) Malaysia, Telford Engan Tan berkata, mana-mana kemasukan kumpulan pelarian berpotensi memberi kesan kepada keselamatan negeri, kapasiti kebajikan, komuniti tempatan dan tadbir urus jangka panjang.
“Sebarang keputusan atau dasar di peringkat nasional yang menyentuh kemasukan ke Sarawak hendaklah menghormati undang-undang Imigresen Khas Sarawak yang memberikan negeri tersebut autonomi dan kawalan ke atas kemasukan serta pemastautinan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini bukan sekadar suatu formaliti pentadbiran. Ia mencerminkan kedudukan khas Sarawak dalam Malaysia serta perlindungan yang menjadi sebahagian daripada pembentukan Persekutuan melalui MA63,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sarawak berhak mengemukakan persoalan yang serius sekiranya kerajaan negeri menerima mana-mana kumpulan pelarian masuk ke negeri ini.
Sementara itu, Peguam Litigasi Sidharth Shankar Asnani berkata, Seksyen 64 Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 9(3) Perlembagaan Persekutuan secara nyata mengiktiraf kedudukan khas Negeri-Negeri Malaysia Timur berkaitan imigresen, kebebasan bergerak dan pemastautinan dalam Persekutuan.
Beliau turut menyatakan bahawa kuasa-kuasa imigresen pada akhirnya hendaklah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Negeri Sarawak dan Pengarah Imigresen menurut Seksyen 65 Akta Imigresen 1959/63.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sewajarnya bekerjasama dalam isu-isu kemanusiaan dan migrasi. Bagaimanapun, kerjasama tidak bermaksud autonomi Sarawak boleh diketepikan.
“Sebarang dasar yang mampan hendaklah menghormati Akta Imigresen 1959/63, kerangka MA63 dan kedudukan perlembagaan Negeri-Negeri Borneo,” tegasnya.



