PADAWAN: Masyarakat tidak seharusnya mudah mempercayai dakwaan yang disebarkan oleh pihak tertentu di media sosial berhubung isu berkaitan hak tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, isu itu sering dimainkan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya bagi tujuan politik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Isu tanah ini diulang-ulang setiap kali pilihan raya, cuma untuk tujuan politik. Jangan percaya apa yang ada dalam media sosial kerana mereka tiada isu lain.
“Kita mesti faham perkara ini. Kerajaan memang komited untuk membantu rakyat dalam isu tanah NCR,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Mambong di Dewan Persatuan Biperoh, Kampung Garung hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menegaskan Kerajaan Sarawak kekal komited mempertahankan dan mengiktiraf hak tanah NCR menerusi program penyukatan dan pengeluaran surat hak milik tanah yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri.
Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan besar bagi memastikan kerja penyukatan tanah NCR dapat diteruskan tanpa membebankan rakyat.
“Tahun ini daripada kerajaan pusat kita terima RM2 juta saja, memang tidak mencukupi tetapi Kerajaan Sarawak meluluskan RM40 juta untuk kita uruskan.
“Bila-bila masa diperlukan, kita akan salurkan peruntukan untuk meneruskan kerja penyukatan. Selagi penyukatan diperlukan, kita akan teruskan.
“Kita tidak meminta bayaran daripada pemilik tanah kerana semuanya ditanggung kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, komitmen kerajaan terbukti apabila Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya melaksanakan penyukatan perimeter tanah NCR seluas kira-kira 1.233 juta hektar atau 3.047 juta ekar di seluruh Sarawak sejak 2010 hingga 30 April 2026 dan daripada jumlah itu, seluas 966,440 hektar atau 2.38 juta ekar telah diwartakan.
Manakala, katanya setakat 30 April 2026, sebanyak 110,815 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 132,414 hektar (327,202 ekar). Daripada jumlah itu, sebanyak 37,168 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang berkeluasan 52,173 hektar (128,922 ekar).
Awang Tengah menambah, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu akan diteruskan selagi diperlukan dan kerajaan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR yang sah mengikut perundangan.
“Penyukatan tanah NCR ini tidak mengenakan sebarang caj kerana semuanya percuma. Kerajaan akan mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium dan pegangan kekal,” katanya.


