Hak warga media sebagai petugas barisan hadapan

APABILA pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine, seorang wartawan Berita Harian, Hardi Effendi Yaacob (Allahyarham) diterbangkan daripada tugasannya di London untuk membuat liputan khas insiden tragis itu.

Beliau kemudian menjadi antara rakyat pertama di negara ini yang membuat liputan di ‘ground zero’ – kawasan yang sukar dimasuki – selain membuat liputan berkaitan rundingan sisi antara Kerajaan Malaysia dengan kumpulan yang terlibat, bagi membolehkan urusan membawa mayat rakyat Malaysia keluar dari zon konflik dan penyerahan kotak hitam dapat berlangsung lancar.

Ketika Lahad Datu dicerobohi gerombolan pengganas dari Selatan Filipina, tidak sedikit wartawan dihantar ke daerah pinggir laut di Sabah untuk memberi gambaran sebenar apa yang terjadi. Misalnya, jurufoto Mohd Radzi Bujang sempat merakam mayat ASP Michael Padel yang terapung di perkampungan air Simunul.

Pada 2015, gempa bumi melanda Sabah, dan antara yang terkesan ialah Gunung Kinabalu. Seramai 18 orang terbunuh, dan seramai lima wartawan serta jurufoto dari Sarawak diterbangkan ke negeri di bawah bayu itu untuk membuat liputan, bagi membantu wartawan di negeri itu.

Pada tahun lalu, ketika Covid-19 melanda, seluruh negara diarahkan berkurung. Pun begitu kebanyakan petugas media diberikan ‘kebenaran khusus’ untuk membuat liputan, melaporkan apa yang berlaku di negara ini, terutama di Sarawak.

Tanpa laporan mereka, pastinya ramai yang tertanya-tanya apa yang berlaku dan tidak sedar akan padah yang menanti akibat Covid-19. Mereka inilah yang melaporkan tentang kematian dan di mana berlakunya kluster-kluster pandemik ini, bagi membangkitkan kesedaran kepada rakyat massa.

Malah lebih berani, mereka juga berjumpa bekas pesakit, bagi berkongsi kisah dan pengalaman, agar dapat menjadi pengajaran kepada yang lain. Pada masa yang sama, mereka juga membidik kisah petugas kesihatan dan keselamatan yang tidak menang tangan dan keletihan melampau – hingga situasi ini mendapat simpati rakyat dan kerajaan.

Tidakkah semua alasan ini cukup untuk memberi bayangan bahawa pengamal media juga sebahagian daripada anggota ‘barisan hadapan’ negara. Pengamal medialah yang menjadi jambatan di antara rakyat dan kerajaan (atau pihak berkuasa) dan sebaliknya.

Benar, mereka bukanlah individu yang bersengkang mata untuk mengubati dan mengurangkan kesakitan mangsa Covid-19, atau petugas yang memastikan disiplin rakyat agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Namun kelompok wartawan inilah yang bertungkus-lumus untuk memastikan seluruh rakyat memperoleh maklumat yang diperlukan.

Dan untuk itu, mereka perlu bergerak dan berada di ‘zon perang’ dan bukan menjadi arm chair reporter semata-mata. Malah mereka orang penting di sebalik kempen vaksinasi Covid-19, ketika wujudnya sentimen antivaksin yang tersebar dalam masyarakat.

Di Sarawak, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyanjung tinggi peranan pengamal media. Malah beliau menyebutnya dengan jelas, bahawa pengamal media juga merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

Dan kerana itulah beliau telah meluluskan bantuan RM1,500 one-off kepada lebih 600 pengamal media di negeri ini tahun lalu. Malah kebenaran khas diberikan kepada media untuk bergerak di mana-mana, dan terkini mendapatkan vaksin lebih awal – memandangkan kami juga terdedah kepada bahaya jangkitan Covid-19.

Untuk rekod, terdapat beberapa pengamal media di Sarawak yang telah dijangkiti wabak ini sebelum ini, yang kemudian memaksa tidak sedikit rakan-rakan sepejabat dan ‘sama majlis’ terpaksa menjalani proses calitan dan kuarantin, setelah menjadi individu yang disyaki dan disiasat.

Pada hari ini pun, sekurang-kurangnya 20 orang sedang menjalani kuarantin, akibat rakan sekerja yang bertemu dengan individu yang positif Covid-19. Oleh yang demikian, apabila Kerajaan Persekutuan mengeluarkan notis dan garis panduan bahawa warga media tidak disenaraikan sebagai ‘petugas barisan hadapan’, ia adalah sesuatu yang amat sedih dan dikesali.

Dalam edaran garis panduan pada 1 Mac lalu, yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, golongan media tidak tersenarai – waima untuk kategori dua, yang kebanyakan peranannya sama seperti pihak media.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Wartawan Negeri Sarawak, Jacqueline Nur Atikah Abdullah berkata, pihaknya berharap perkara ini dapat diperbetulkan dan golongan wartawan kembali dinamakan sebagai petugas barisan hadapan kerana peranan dan risiko yang dihadapi mereka.

Sebagai pengamal media, kami bukan mahu dimanja atau mendapat layanan istimewa. Realitinya, kami turut berhadapan risiko kerana memasuki zon bahaya, demi membolehkan para pembaca mendapat maklumat dan gambaran sebenar. Kami umpama pasukan bomba, apabila berlaku kebakaran, kami bukan lari menyelamatkan diri, sebaliknya berlari menuju ke lokasi api.

Kami juga umpama tentera, apabila berlaku peperangan, kami berada di sudut tertentu untuk merakam apa yang berlaku. Kami perakam sejarah dan kejadian semasa – yang akan menjadi iktibar dan dokumentasi pada masa depan.

Saudara Hardi dan Radzi telah membuktikan besarnya peranan  kami sebagai pengamal media. Ia juga membuktikan bahawa kami turut berperanan di barisan hadapan, bukannya ‘goyang kaki’ menunggu sidang media dan gambar dirakam oleh entah siapa.

Terdapat lebih 15,000 pengamal media di negara ini dan lebih 1,000 orang di Sarawak. Mereka turut menggadai nyawa demi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan jelas.

Bayangkan sidang media Covid-19 oleh Tan Sri Nor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas tanpa kehadiran media?

Semoga pihak berkaitan memikirkan semula peranan golongan media di negeri ini dan di seluruh negara. Kami sedar, kami juga rakyat biasa, namun atas desakan risiko yang dihadapi, sewajarnya kelompok kami ini dikategorikan sebagai ‘petugas barisan hadapan’ seperti mana Kerajaan Sarawak mengiktiraf kami.

Suara Sarawak