BINTANGOR: Masalah hakisan tanah yang berlaku di Sungai Stubah memerlukan tindakan segera kerana berpotensi menjejaskan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, situasi yang berlaku di Jalan Utama berhampiran Rumah Imah dan Rumah Buan itu, tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia turut melibatkan infrastruktur penting termasuk laluan utama penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berharap penilaian teknikal yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dapat mempercepat proses mengenal pasti tahap kerosakan serta merangka pelan tindakan yang sesuai bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Hasil penilaian tersebut penting sebagai panduan kepada pihak berkaitan untuk merancang serta melaksanakan kerja-kerja pemulihan secara menyeluruh dan berkesan.
“Antara langkah yang dicadangkan termasuk pembaikan tebing sungai, pengukuhan struktur tanah di kawasan terjejas serta pengurusan aliran air bagi mengurangkan risiko hakisan berulang pada masa akan datang,” katanya ketika melakukan lawatan ke lokasi kejadian, semalam.
Lawatan bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai tahap hakisan yang berlaku selain mendengar penjelasan awal daripada pihak teknikal berkaitan faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut.





