Trending

Halusinasi SKIZOFRENIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Cenderung bertingkah laku pelik dan sering bercakap sesuatu yang tidak masuk akal serta berhalusinasi. 

Demikian, antara simptom yang sering dialami oleh pesakit skizofrenia. 

Biarpun, kadar berlakunya penyakit skizofrenia tidak setinggi kadar penyakit kemurungan atau penyakit mental lain, namun ia menjadi penyakit yang paling menjejaskan fungsi hidup individu, terutamanya jika tidak dirawat pada peringkat awal.

Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menerusi kenyataan, pesakit Skizofrenia sememangnya mengalami kecelaruan berfikir.

Menurutnya, apabila penyakit tersebut terlalu kuat, ia mempengaruhi kelakuan dan cara pesakit membuat keputusan.

Kata beliau, sekiranya pesakit menghidapi skizofrenia dalam jangka yang lama dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan seorang itu bertindak mengikut naluri penyakit yang dilalui atau ketidakwarasan. 

BOLEH DIRAWAT

Bagaimanapun, penyakit ini boleh dirawat dan pesakit boleh sembuh dengan rawatan yang betul dan berterusan.

Secara global, kira-kira satu peratus daripada populasi didiagnosakan mengalami skizofrenia.

Menurut Kajian Global Burden of Disease pada 2017, dianggarkan sebanyak 1.1 juta kes baharu, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2019 melaporkan terdapat 20 juta kes skizofrenia di seluruh dunia.

Kajian epidemiologi melaporkan bahawa peluang bagi seseorang untuk menghidapi penyakit ini sepanjang tempoh kehidupannya adalah sebanyak 0.3 sehingga 0.7 peratus. 

Kebanyakan pesakit didiagnosakan pada usia lewat remaja sehingga awal 30-an.

Natijahnya, isu kesihatan mental menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial individu.

Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. 

Di samping itu, kesihatan mental kini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau jantina.

Lebih buruk, stigma masyarakat terhadap pesakit mental sukar untuk dilenyapkan. Pesakit mental secara umumnya sering dipandang hina dan didiskriminasikan oleh masyarakat. 

Malah, keluarga pesakit turut terpalit dengan stigma masyarakat.

Kesannya, keluarga sukar untuk menerima hakikat bahawa ahli keluarga mereka mengidap penyakit mental khususnya pengidap skizofrenia.

Akibat stigma tersebut, pesakit berasa rendah diri sehingga menolak rawatan untuk dirawat atau meminta pertolongan.

DAPATKAN PERTOLONGAN

Bagaimanapun, memetik sumber MyHealth, gejala yang ditunjukkan oleh pengidap skizofrenia yang gagal dalam rawatan menyebabkan penjaga lebih cenderung mempercayai pesakit “disampuk makhluk halus” dan mendapatkan bantuan bomoh untuk rawatan.

Malah, penjaga juga merahsiakan keadaan pesakit daripada pengetahuan umum. 

Keadaan ini mendorong penjaga mengurung pesakit dan membiarkan pesakit berkeliaran atau merayu pihak berkuasa menempatkan pesakit di institusi tertentu.

Malangnya, skizofrenia tidak dapat dirawat dengan satu rawatan sahaja.

Ia memerlukan gabungan rawatan lain meliputi pelbagai aspek. 

Antaranya ialah, psikoterapi—rawatan psikologi bertujuan untuk memberi sokongan emosional kepada pesakit. 

Diikuti, dengan rawatan farmakologi — penggunaan ubat-ubatan bagi memulihkan ketidakseimbangan biokimia di bahagian otak serta mengurangkan gejala penyakit. 

Selain itu, rawatan psikososial juga diperlukan iaitu penglibatan pesakit dalam pelbagai aktiviti seperti psycho-education — membantu pesakit sedar bahawa rawatan dan pemulihan bukan hanya bergantung kepada ubat atau psikoterapi, tetapi persekitaran turut mempengaruhinya.

Juga diingatkan bahawa sokongan ahli keluarga penting dalam membantu pemulihan pesakit. Penglibatan ahli keluarga diperlukan bagi memberi sokongan moral dan emosi kepada pesakit dalam proses pemulihan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru