KUCHING: Sebuah agensi khas dicadangkan bagi menyelaras pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk mempercepat penyiapan projek pembangunan dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, agensi itu boleh mengurus keseluruhan kitaran projek, daripada proses tender dan penyerahan tapak hingga pemantauan pelaksanaan.
Penubuhan agensi berkenaan bertujuan menambah baik pengurusan projek, mengurangkan kerenah birokrasi serta memastikan peruntukan kerajaan digunakan secara berkesan dan memberikan nilai untuk wang.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Hamzah mencadangkan mekanisme pemantauan pembangunan diperketat bagi memastikan kerosakan jalan akibat aktiviti pembinaan ditangani oleh pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, penggunaan kenderaan berat oleh kontraktor dan pemaju boleh merosakkan jalan serta menjejaskan keselesaan penduduk setempat.
Beliau mencadangkan kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, mempertimbangkan syarat jaminan kewangan kepada pemaju bagi menampung kos pembaikan jalan yang rosak akibat aktiviti pembangunan mereka.
Jaminan itu boleh digunakan untuk membiayai kerja pembaikan sekiranya pemaju gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Selain itu, beliau menggesa syarat pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan diperkukuh dalam projek pelabuhan baharu bagi membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat milik anak negeri menyertai rantaian bekalan industri berkenaan.
Hamzah turut mencadangkan program latihan dan pensijilan dalam bidang audit karbon serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dilaksanakan melalui institusi tempatan, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Katanya, usaha itu dapat melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan sektor ekonomi hijau dan perdagangan karbon yang semakin berkembang.


