KUCHING: Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib memberi jaminan akan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Menurut beliau, komitmen itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kemampanan dan kesejahteraan menyeluruh.
“Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh usaha Kementerian Kesihatan dalam mempertingkatkan sistem kesihatan negara.
“Sekali gus memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk seluruh rakyat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang terus diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri.
Beliau turut memberi jaminan akan melaksanakan amanah sebagai Timbalan Menteri dalam pentadbiran Kerajaan MADANI dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
“Walaupun begitu, khidmat bakti kepada rakyat Mukah akan terus menjadi keutamaan, selaras dengan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Mukah,” ujarnya.
Dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI, Hanifah yang sebelum ini menggalas jawatan Timbalan Menteri Ekonomi telah dipindahkan portfolio sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, menggantikan Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Lukanisman pula ditukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, manakala jawatan Timbalan Menteri Ekonomi kini digalas oleh lantikan baharu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.



