MUKAH: Beberapa keperluan asas disumbangkan kepada Klinik Kesihatan Nanga Baoh, Dalat bagi membantu meningkatkan aspek infrastruktur dan keselamatan fasiliti berkenaan.
Sumbangan daripada Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib itu merangkumi jaket keselamatan, penyaman udara mudah alih, kipas dinding serta lampu LED berkuasa solar untuk kegunaan di dalam dan luar bangunan.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh pegawai Pejabat Pusat Khidmat Mukah bagi mewakili Hanifah dalam satu penyerahan di Pejabat Pusat Khidmat P213 Mukah, semalam.
Keprihatinan itu mencerminkan usaha berterusan Hanifah dalam memahami keperluan petugas kesihatan di lapangan, khususnya di fasiliti kesihatan luar bandar yang berdepan kekangan akses dan lokasi.
Sehubungan itu, kelengkapan berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan petugas ketika menjalankan tugas, selain menyokong kelancaran perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Penyediaan kemudahan yang bersesuaian di fasiliti kesihatan luar bandar penting bagi memastikan petugas dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik, selain membantu penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.



