KUCHING: Seorang jurutera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menggunakan Perkhimatan Pesanan Ringkas (SMS) berbaur perkauman dan seksual kepada pihak syarikat telekomunikasi, tiga tahun lalu.
Orang kena saman (OKS) Sim Ngee Thiam, 45, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan dibacakan secara berasingan di empat hakim Mahkamah Sesyen berbeza.
Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi SMS dari satu nombor telefon.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebanyak lima kali dalam kejadian berbeza sekitar bulan Jun, Julai dan Disember 2019.
Oleh itu, kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabit.
Hakim Afidah Abdul Rahman, Hakim Maris Agan, Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff dan Hakim Musli Abdul Hamid masing-masing membenarkan OKS dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 (tidak deposit) berserta dua penjamin tempatan beralamat tetap bagi semua pertuduhan yang dihadapi OKS.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Julai depan.






