ARTIKEL

HAPUS STIGMA NEGATIF HIV Patuh rawatan boleh hidup normal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dunia terasa gelap. Segala-galanya seolah-olah berakhir sehingga terlintas di fikirannya untuk me-namatkan riwayat hidup sendiri selepas disahkan positif Virus Kurang Imun Manusia (HIV).

Bagi Amir (bukan nama sebenar), 27, pengalaman hitam yang dilaluinya pada 2021 bukan sahaja menjadi memori pahit, malah detik yang hampir meragut seluruh semangat hidupnya.

Saat doktor mengucapkan perkataan “positif”, dunia yang selama ini dipenuhi impian tiba-tiba berubah menjadi ruang sempit yang menyesakkan jiwa.

Ketika itu, Amir merasakan hidupnya sudah berakhir sebelum ajal tiba.

Dia dibayangi ketakutan terhadap kematian, selain dihimpit stigma masyarakat yang sering menghakimi pesakit HIV tanpa memahami realiti sebenar.

Dalam detik paling rapuh itu, Amir mengakui pernah terfikir untuk membunuh diri kerana tidak sanggup menghadapi masa depan yang dirasakannya begitu kelam.

Namun, di sebalik runtuhan emosi dan air mata yang berpanjangan, takdir sebenarnya sedang membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.

Hari ini, sesiapa sahaja yang melihat Amir pasti tidak menyangka bahawa pemuda yang kelihatan sihat dan bertenaga itu sebenarnya hidup dengan HIV.

Rahsia itu dipelihara melalui disiplin yang tinggi dalam menjalani rawatan serta semangat yang tidak pernah luntur untuk terus bertahan.

MISTERI DEMAM BERPANJANGAN

Mengimbas kembali detik awal sebelum diagnosis dibuat, semuanya bermula dengan demam biasa. Namun, lama-kelamaan demam itu menjadi semakin teruk dan berpanjangan.

“Ia bukan demam biasa yang sembuh selepas makan ubat. Badan saya menggigil dengan teruk dan rasa sejuk itu seolah-olah mencucuk hingga ke tulang.

“Ketika itu, saya merasakan seolah-olah nyawa dan semangat saya sudah hilang,” katanya ketika sesi temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak baru-baru ini.

Pada peringkat awal, Amir beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran. Namun, simptom yang dialaminya dianggap sekadar demam biasa atau jangkitan ringan.

Tambahan pula, ketika itu dunia masih dibelenggu pandemik COVID-19 dan sebahagian daripada simptom yang dialaminya hampir menyerupai simptom jangkitan virus tersebut.

Bagaimanapun, beberapa ujian kendiri COVID-19 yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif. Keadaan fizikal Amir pula semakin merosot dan tubuhnya menjadi semakin lemah dari sehari ke sehari.

DETIK DUNIA SEOLAH-OLAH RUNTUH

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya, Amir akhirnya mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan darah penuh di hospital kerajaan.

Di situlah segala persoalan akhirnya terjawab. Selepas beberapa siri ujian makmal dijalankan dan doktor memastikan Amir bersedia menerima kenyataan tersebut, dia disahkan positif HIV.

“Apabila doktor menyampaikan keputusan itu, saya rasa seolah-olah jantung saya berhenti berdegup. Dunia terasa gelap. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah kematian.

“Saya berasa sangat rendah diri, takut dan hancur. Saya akui pernah terfikir untuk membunuh diri kerana tidak sanggup berdepan dengan stigma masyarakat,” katanya.

Namun, Amir tidak dibiarkan bersendirian menghadapi ujian tersebut. Pasukan perubatan hospital kerajaan, termasuk doktor, jururawat dan kaunselor, menjadi sumber kekuatan emosinya.

Mereka memberikan sokongan, penerangan yang tepat tentang HIV serta meyakinkannya bahawa diagnosis tersebut bukanlah hukuman mati, sebaliknya permulaan kepada fasa kehidupan yang baharu.

Selepas didiagnosis, kehidupan Amir berubah sepenuhnya. Dalam tempoh setahun pertama, hidupnya dipenuhi jadual rawatan dan disiplin yang ketat.

Di bawah pemantauan doktor, Amir perlu sentiasa memantau dua indikator utama kesihatannya, iaitu kiraan CD4 dan beban virus.

Untuk pengetahuan, CD4 ialah sel pertahanan badan yang berfungsi melawan jangkitan penyakit, manakala beban virus merujuk kepada jumlah virus HIV dalam darah.

Matlamat rawatan adalah untuk memastikan kiraan CD4 kekal tinggi dan beban virus ditekan sehingga mencapai tahap yang tidak dapat dikesan.

Bagi Amir, kunci utama untuk mencapai keadaan itu ialah pematuhan terhadap rawatan Terapi Antiretroviral (ART).

“Jam 12.00 tengah malam menjadi waktu tetap saya mengambil ubat setiap hari. Saya tidak boleh culas walaupun sekali kerana disiplin sangat penting.

“Jika gagal mematuhi jadual rawatan, virus boleh bermutasi dan menjadi kebal terhadap ubat,” jelasnya.

Menurut Amir, pesakit yang gagal mematuhi rawatan mungkin terpaksa bertukar kepada regimen ubat kedua yang lebih kuat, mempunyai kesan sampingan yang lebih berat serta melibatkan kos rawatan yang lebih tinggi.

Namun, Amir bersyukur kerana rawatan barisan hadapan masih ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

TEPIS MITOS, STIGMA NEGATIF

Sebagai individu yang hidup dengan HIV, Amir mengakui terkilan apabila melihat masih ramai dalam kalangan masyarakat yang mudah mempercayai dakwaan tentang “ubat kampung” yang kononnya mampu menyembuhkan HIV sepenuhnya.

“Hakikatnya, sehingga hari ini, belum ada penawar tradisional yang benar-benar dapat menyembuhkan HIV.

“Jangan mudah percaya kepada iklan atau testimoni palsu di media sosial. Rawatan moden dan disiplin dalam pengambilan ubat ialah perkara yang menyelamatkan nyawa saya serta ramai pesakit lain,” tegasnya.

Selain itu, Amir turut berdepan dengan stigma masyarakat yang masih mempunyai persepsi lapuk terhadap pesakit HIV.

“Ramai masih menyangka pesakit HIV mesti kelihatan kurus, sakit atau dipenuhi luka. Hakikatnya, dengan rawatan ART moden, pesakit boleh kelihatan sihat seperti orang lain.

“Keadaan menjadi lebih teruk jika pesakit tidak mendapatkan rawatan sehingga jangkitan berkembang ke peringkat AIDS,” katanya.

Beliau turut menjelaskan HIV tidak mudah berjangkit melalui sentuhan biasa, perkongsian makanan atau bekerja di tempat yang sama.

Sebaliknya, virus itu hanya boleh merebak melalui situasi tertentu seperti pemindahan darah, perkongsian jarum suntikan dan hubungan seksual tanpa perlindungan.

KESEDARAN MASIH RENDAH

Berdasarkan pengalamannya berurusan di klinik dan hospital, Amir berpendapat bahawa tahap kesedaran masyarakat mengenai HIV masih rendah dan perlu dipertingkatkan.

Katanya, terdapat pesakit yang disahkan positif HIV pada usia yang sangat muda, malah seawal 15 tahun.

Justeru, Amir menasihati individu yang pernah melakukan aktiviti berisiko agar segera menjalani ujian saringan HIV dan tidak membiarkan perasaan malu menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan awal.

“Kesedaran awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Bagi golongan berisiko tinggi tetapi masih negatif HIV, Amir turut menyarankan pengambilan profilaksis pra-pendedahan (PrEP) sebagai langkah pencegahan tambahan.

Menurutnya, ubat tersebut boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan dengan kos yang sangat rendah.

Namun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan kondom tetap penting kerana ia bukan sahaja membantu mencegah penularan HIV, malah melindungi daripada jangkitan seksual (STI) lain seperti sifilis, gonorea dan klamidia.

MEMILIH UNTUK JAGA PRIVASI

Sehingga hari ini, Amir memilih untuk merahsiakan status kesihatannya daripada kebanyakan ahli keluarga dan orang di sekelilingnya.

Hanya sahabat rapat serta pasukan perubatan yang mengetahui keadaan sebenar dirinya.

Baginya, keputusan itu bukan kerana malu, tetapi demi menjaga kestabilan emosi dan privasi dirinya.

“Saya percaya tidak semua orang mampu memahami keadaan ini secara matang. Selagi saya mampu bekerja, menjaga diri dan menjalani kehidupan seperti biasa, saya memilih untuk menyimpannya sebagai perkara peribadi,” katanya.

Bagi memastikan kesihatan mentalnya terus terpelihara, Amir mengisi kehidupannya dengan pelbagai aktiviti positif seperti bekerja, memasak, menonton filem, bersenam dan melancong.

Amir juga amat menitikberatkan penjagaan kesihatan kerana individu yang hidup dengan HIV lebih terdedah kepada pelbagai penyakit kronik sekiranya tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.

HIV BUKAN PENGAKHIRAN HIDUP

Ketika ditanya mengenai soal cinta dan perkahwinan, Amir tersenyum optimis.

Menurutnya, individu yang hidup dengan HIV masih berpeluang membina rumah tangga dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Individu yang hidup dengan HIV masih boleh berkahwin dan membina keluarga. Yang penting ialah mendapatkan nasihat doktor serta memastikan beban virus berada pada tahap yang tidak dapat dikesan.

“Apabila rawatan dipatuhi, risiko jangkitan kepada pasangan dapat diminimumkan,” jelasnya.

Kisah Amir menjadi bukti HIV bukan hukuman mati. Dengan rawatan yang betul, sokongan masyarakat dan disiplin diri yang tinggi, individu yang hidup dengan HIV masih mampu menjalani kehidupan yang sihat, “Pengalaman ini mengubah hidup saya. Hari ini, saya mahu menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang melalui perjuangan yang sama.

“HIV ialah penyakit kronik seperti penyakit lain yang memerlukan rawatan berterusan. la bukan pengakhiran kehidupan, sebaliknya satu perjalanan yang mengajar saya tentang keberanian, harapan dan ketabahan,” katanya mengakhiri perbualan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU