ULU BARAM: Pengumuman pembinaan Jambatan Sungai Paong Long Apu yang dijangka siap sebelum sambutan Krismas tahun ini, merupakan satu berita gembira yang sangat dinanti-nantikan penduduk kampung khusus kepada warga Long Apu.
Status terkini pembinaan jambatan tersebut didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau pada Majlis Perasmian Blok Rumah Panjang Baharu Kampung Long Apu di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini Jambatan Sungai Paong Long Apu berstruktur kayu telah dihanyutkan banjir besar pada 17 April 2021 dan sejak itu, ia menjejaskan aktiviti harian penduduk kerana mereka terpaksa memandu merentasi sungai berkenaan setiap hari.
Suara Sarawak menemu bual beberapa penduduk kampung mengenai pembinaan Jambatan Sungai Paong Long Apu.

“Saya berharap Jambatan Sungai Paong Long Apu ini siap dibina sebelum Krismas nanti seperti yang diumumkan oleh ADUN Telang Usan. Banyak sudah kereta dihanyutkan oleh sungai ini termasuk kereta anak saya ketika merentasinya. Kami sudah lama menanti jambatan baharu itu selepas jambatan kayu yang lama dihanyutkan oleh banjir besar pada 2021. Kami yang menetap di sini sangat susah hendak bergerak kerana terpaksa melalui sungai ini setiap hari.”

“Besar harapan saya Jambatan Sungai Paong Long Apu itu siap dibina sebelum Krismas. Bagi anak muda seperti saya, sangat susah untuk balik ke kampung kerana terpaksa memandu merentasi Sungai Paong. Tetapi apabila jambatan itu siap nanti, ia sekurang-kurangnya memudahkan pemanduan ulang-alik ke kampung dan bandar.”

“Jambatan Sungai Paong Long Apu mesti siap tahun ini seperti yang diumumkan. Sebelum ini, kami telah dijanjikan dengan penyiapan jambatan tersebut. Justeru, jika jambatan tu siap sebelum Krismas, rumah kampung Long Apu ini akan bertambah meriah dengan kepulangan warga kampung yang tinggal di bandar.”

“Harapan saya, Jambatan Sungai Paong Long Apu betul-betul siap seperti yang diumumkan iaitu sebelum Krismas nanti. Dengan siapnya jambatan ini, ia akan memudahkan pergerakan penduduk kampung. Anak-anak muda juga akan selalu pulang ke kampung kerana sebelum ini, sangat susah balik kampung.”

“Jambatan adalah antara kemudahan asas yang sangat diperlukan di kampung Long Apu. Oleh itu, saya berharap jambatan itu siap sebelum Krismas nanti seperti yang diumumkan oleh wakil rakyat kita. Hari ini, sangat bahaya memandu merentasi Sungai Paong khususnya apabila air sungai mengalir deras selepas hujan.”


