Harga ayam tua dan daging khinzir terkawal untuk Gawai

SERIAN: Ayam tua dan daging khinzir adalah antara yang disenaraikan sebagai barangan harga terkawal bagi perayaan Hari Gawai tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia kerana kedua-dua bahan makanan berkenaan adalah yang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan ini.

“Kita tidak mengawal harga daging khinzir semasa perayaan lain tetapi untuk Hari Gawai, kita tahu ia mendapat permintaan yang sangat tinggi.

“Begitu juga ayam tua kerana kebanyakan orang Dayak menggunakannya untuk masakan seperti ayam pansuh.

“Jadi kedua-dua daging khinzir dan ayam tua ini mendapat permintaan yang sangat tinggi terutama di luar bandar maka kami menyenaraikannya sebagai barangan terkawal,” katanya pada sidang media sempena ‘walkabout’ di Pasar Basah Serian di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Adun Kedup Martin Ben, Adun Bukit Semuja John Ilus dan Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan.

KPDNHEP menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Gawai Dayak bermula 28 Mei hingga 3 Jun, dengan menyenaraikan sebanyak 22 barangan untuk harga terkawal.

Ia terdiri daripada ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua, kepak ayam, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging babi (perut, daging dan lemak), babi hidup (pengeluar), tomato, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing), cili merah, lada benggala hijau, bawang Besar (China dan Holland), ubi kentang import (China), cili kering, kacang tanah, ikan kembung termasuk ikan mabung dan ikan Selayang.