ARTIKEL

Harga baja naik, petani tertekan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAWHMU (Myanmar): Di bawah langit monsun yang mendung dan hujan lebat, petani di Myanmar terus mengusahakan sawah mereka dengan penuh kebimbangan, ragu-ragu sama ada musim hujan kali ini mampu menjanjikan hasil tuaian yang lumayan ketika negara berdepan krisis bahan api dan baja yang dicetuskan oleh konflik Iran.

“Saya akan menjadi pengemis jika harga terus meningkat,” kata petani, Soe Naing, 49, sambil duduk di atas guni benih padi menghadap 30 ekar (12 hektar) tanah sewaan miliknya berhampiran bandar Kawhmu di kawasan delta Myanmar.

Walaupun berdepan tekanan ekonomi yang semakin memuncak, dia tetap berpegang kepada kerjaya yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

“Mungkin saya akan berhenti menjadi petani, tetapi menanam padi adalah sebahagian daripada hidup saya,” katanya kepada AFP ketika hujan lebat menandakan bermulanya musim penanaman di selatan Myanmar.

Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran terus mencetuskan gangguan bekalan di seluruh dunia meskipun gencatan senjata yang rapuh masih bertahan.

Penutupan Selat Hormuz akibat konflik tersebut memberi kesan besar kepada Asia, destinasi bagi 80 peratus penghantaran minyak yang melalui laluan strategik itu, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Myanmar, yang sudah berdepan krisis kemanusiaan akibat perang saudara yang berlarutan, kini semakin terdedah kepada tekanan ekonomi tambahan.

Menurut data rasmi, negara Asia Tenggara itu mengimport kira-kira 90 peratus keperluan bahan api minyaknya, manakala sehingga 95 peratus baja kimia turut diimport, menurut Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP).

Kenaikan mendadak harga kedua-dua komoditi tersebut menyebabkan petani sukar mendapatkan bahan api untuk mengendalikan mesin pembajak dan membeli baja bagi menyuburkan tanaman pada waktu kritikal musim penanaman.

WFP memberi amaran bahawa pengurangan penggunaan baja sebanyak 50 peratus boleh menyebabkan hasil pertanian Myanmar merosot sehingga 15 peratus, sekali gus memburukkan lagi isu keselamatan makanan yang sedia ada.

“Situasi sekarang adalah tempoh paling sukar yang pernah kami hadapi,” kata Soe Naing. “Harapan saya kini hanya tinggal pada sawah yang saya usahakan.”

HARAPAN SEMAKIN PUDAR

Lebih 4,000 kilometer dari Selat Hormuz yang bergolak, sawah milik Moe Aung turut menerima tempias krisis perkapalan global.

Petani berusia 53 tahun itu hanya merancang menggunakan setengah beg baja bagi setiap ekar tanah tahun ini, iaitu kira-kira satu perenam daripada jumlah yang diperlukan untuk memastikan tanaman berkembang dengan baik.

“Saya hanya meneruskannya kerana saya mempunyai sawah, tetapi jauh di lubuk hati saya… saya tidak mahu lagi melakukannya,” katanya.

“Saya tidak mempunyai keinginan untuk meneruskan pekerjaan ini jika keadaan seperti ini berterusan.”

Menurutnya, harga satu beg baja seberat 50 kilogram meningkat sehingga lima kali ganda dan kini mencecah 200,000 kyat (AS$48).

Selain bekerja di sawah berlumpur, Moe Aung kini terpaksa memberi tumpuan kepada pengurusan hutang dan kos operasi yang semakin membebankan.

Amalan membeli baja secara kredit dan membayarnya selepas musim menuai adalah perkara biasa dalam kalangan petani.

Namun, tahun ini dia bimbang pendapatan yang diperoleh tidak mampu menampung perbelanjaan yang ditanggung. “Saya tidak fikir perbelanjaan dan pendapatan akan seimbang,” katanya.

“Dahulu kami hidup selesa. Kami boleh menjaga ibu bapa, menyertai aktiviti sosial dan hidup bahagia bersama-sama keluarga. Kini semua itu semakin hilang.”

Untuk rekod, Myanmar pernah dikenali sebagai “jelapang padi dunia”, mengeksport lebih banyak beras berbanding mana-mana negara lain sebelum Perang Dunia Kedua.

Namun, konflik berpanjangan selepas kemerdekaan, ketidakstabilan politik dan perang saudara yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada 2021 melemahkan sektor pertanian negara itu.

Rampasan kuasa tersebut menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi, yang masih ditahan sehingga kini dan pernah mewakili Kawhmu sebagai ahli parlimen.

Menurut kumpulan pemantau konflik ACLED, perang yang tercetus selepas rampasan kuasa itu meragut lebih 90,000 nyawa, manakala lebih 3.7 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB menyifatkan Myanmar sebagai negara yang terjerumus dalam pelbagai krisis serentak, dengan konflik di Timur Tengah menambah lagi tekanan terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, pakar cuaca turut meramalkan fenomena El Nino yang kuat akan berlaku tahun ini, membawa cuaca panas dan kemarau ke beberapa bahagian Asia Tenggara.

Fenomena yang dijangka bermula seawal bulan ini berpotensi menjadi satu lagi kejutan global yang memberi kesan besar kepada Myanmar yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran. – AFP

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU