Harga sawit mentah melonjak

MIRI: Industri minyak sawit terus mempamerkan rangsangan kukuh apabila harga minyak sawit mentah (CPO) Malaysia melonjak pada harga RM3,180 satu tan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Muhtar Suhaili  berkata, peningkatan harga disebabkan permintaan tinggi dari India dan China.

“Harga CPO melonjak berada pada paras harian tertinggi iaitu RM3,180 sejak Februari 2017 berbanding RM3,111 satu tan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 dan 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhtar menambah, dengan kenaikan CPO yang begitu tinggi, ia sudah pasti merupakan satu berita gembira kepada pemain industri termasuk pekebun kecil.

Tambahnya, bukan hanya harga CPO, harga Buah Tandan Segar (BTS) juga meningkat mencecah RM600 satu tan.

“Kita percaya harga terbabit dijangka kekal dengan diunjurkan terus stabil, kejayaan itu hasil inisiatif kerajaan dalam memastikan industri sawit terus kompeten dan berdaya saing,” katanya.

Muktar menjelaskan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga terus berusaha menembusi pasaran baharu di negaranegara berpotensi tinggi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak itu menambah, kerajaan akan menembusi pasaran negara Filipina, Vietnam dan Bangladesh selain negara sedia ada seperti  India, China dan Pakistan.

“Kerajaan juga mensasar memasuki pasaran baharu seperti Turki dan negara-negara Balkan, selain Timur Tengah serta Afrika,” jelasnya.

Meskipun terkesan dengan cabaran pasaran dan ekonomi dunia akibat pandemik Covid-19, Malaysia diyakini tidak akan tergugat dengan tekanan berterusan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

“Pengenalan slogan Sawit Anugerah Tuhan juga akan mengembang lagi industri di negara ini malah kenaikan harga CPO harian sudah pasti dinantinantikan pekebun kecil,” jelasnya.

 

Suara Sarawak