ARTIKEL

Marc Marquez mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menguasai kedua-dua sesi latihan Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Foto: MotoGP

Marquez bangkit selepas terjatuh, kuasai latihan Sepang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendahulu kejuaraan dunia Grand Prix Motorsikal (MotoGP), Marc Marquez bangkit selepas terjatuh untuk mengungguli sesi latihan Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam, sekali gus memberi amaran awal kepada para pencabarnya menjelang perlumbaan pecut hari ini.

Pelumba Ducati Lenovo itu mencatat masa terpantas satu minit 57.000 saat pada sesi petang untuk melengkapkan penguasaan kedua-dua sesi latihan Jumaat, walaupun terbabas di selekoh terakhir pada peringkat awal.

Marquez kehilangan kawalan bahagian hadapan jenteranya di selekoh 15 sebelum tergelincir ke kawasan batu kelikir, namun berjaya kembali ke litar dan memperbaiki catatan masa ketika sesi berbaki kira-kira 15 minit.

Kebangkitan pelumba Sepanyol itu menyaksikan beliau mendahului adiknya, Alex Marquez daripada BK8 Gresini Racing MotoGP, yang berada di tempat kedua dengan perbezaan hanya 0.109 saat.

Pelumba Jepun, Ai Ogura daripada Trackhouse MotoGP pula mencuri tumpuan apabila mencatat masa ketiga terpantas, hanya 0.167 saat di belakang Marquez, hasil peningkatan prestasi pada penghujung sesi.

Pedro Acosta daripada Red Bull KTM menduduki tempat keempat, diikuti Fabio Di Giannantonio di kedudukan kelima dan Marco Bezzecchi keenam.

Turut mengesahkan tempat secara automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) ialah Enea Bastianini, Maverick Viñales, Franco Morbidelli dan Joan Mir yang melengkapkan kelompok 10 terpantas.

Sementara itu, pencabar terdekat kejuaraan dunia, Jorge Martin berdepan situasi sukar apabila terpaksa menamatkan sesi latihan lebih awal selepas hanya melengkapkan tiga pusingan akibat kecederaan pergelangan tangan kanan.

Pelumba Aprilia Racing yang mengalami keretakan tulang akibat kemalangan pada perlumbaan pecut Grand Prix Australia minggu lalu itu kini perlu menjalani penilaian lanjut sebelum meneruskan saingan di Sepang.

Martin yang ketinggalan kira-kira 1.8 saat di belakang Marquez pada sesi latihan bebas pertama (FP1) juga terpaksa melalui sesi kelayakan pertama (Q1) sekiranya meneruskan penyertaan hujung minggu ini.

Turut menerima nasib sama ialah bekas juara dunia Francesco Bagnaia yang gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik selepas terjatuh di selekoh 1 pada penghujung sesi dan sekadar menduduki tempat ke-12.

Keputusan latihan itu memberi kelebihan awal kepada Marquez yang kini mendahului carta kejuaraan dunia dengan kelebihan 10 mata mengatasi Martin, ketika perebutan gelaran memasuki fasa penting musim ini.

Terdahulu, perlumbaan utama Grand Prix Australia di Phillip Island pada 25 Oktober lalu dibatalkan susulan keadaan cuaca buruk dan jarak penglihatan rendah yang menghalang operasi selamat helikopter perubatan.

Pembatalan itu menyebabkan kedua-dua pencabar utama gagal menambah mata kejuaraan, sekali gus menjadikan perlumbaan pusingan ke-19 di Sepang semakin penting dalam menentukan hala tuju perebutan gelaran dunia.

Aksi hari ini diteruskan dengan latihan bebas kedua (FP2) pada 10.10 pagi, diikuti sesi kelayakan pada 10.50 pagi sebelum perlumbaan pecut bermula pada 3 petang.

Perlumbaan utama MotoGP yang mempertandingkan 20 pusingan pula dijadual berlangsung esok pada 3 petang, dengan Marquez berpeluang mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dunia.

BERITA LAIN

16 pasukan bertanding, Akademi SJN muncul juara

KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada

BERITA TERBARU