MINGGU lepas ada sebuah pasar raya di negeri kita mengadakan majlis makan malam untuk menghargai tenaga pekerja mereka.
Majlis yang nampak mewah diadakan di sebuah dewan yang luas dan besar selain persembahan penuh bertenaga daripada pekerja organisasi tersebut.
Majlis tersebut banyak diperkatakan di media sosial dan tular dalam kalangan warga tempatan sehingga ada yang berkata, ramai rakyat di kawasan bandar ingin memohon pekerjaan dengan pasar raya tersebut.
Di sini kita lihat rakyat telah menyedari bahawa pekerjaan itu bukan bergantung kepada upah atau gaji semata-mata.
Sikap kepunyaan, toleransi, kerjasama dan disiplin yang dipraktikkan dalam organisasi penting dalam pelaksanaan sesuatu pekerjaan.
Bekerja dalam bidang pasar raya bukanlah kerja yang susah atau senang, namun pekerjaan ini sering dipandang sebelah mata oleh sebab ia bukan pekerjaan yang memerlukan kemahiran khusus.
Malah, orang awam sering mempunyai fikiran bahawa kerja dalam bidang pasar raya merupakan pilihan terakhir dalam mencari pekerjaan.
Ini kerana, pekerjaan ini hanya memerlukan individu tersebut membantu untuk melancarkan operasi syarikat atau sebagai ejen pemudah dalam pasar raya.
Malah, pekerjaan ini juga merupakan salah satu kerjaya yang mempunyai kadar keluar masuk pekerja yang paling tinggi.
Ada juga yang memandang serong kepada kerjaya sebagai pekerja pasar raya kerana ia adalah kerja yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Orang tua sering menyamakan kerjaya ini sebagai kerjaya yang paling senang dan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja.
Malah ada yang mengambil kerjaya ini sebagai kerjaya sementara mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Disebabkan keadaan ini, tidak ramai yang menghargai kerjaya ini yang dikatakan bahawa pendapatan terendah dan dikaitkan dengan golongan B40.
Menjadikan pekerja yang berada dalam bidang ini seperti tidak dihormati dan dihargai.
Namun, kerjaya adalah kerjaya, semua pekerjaan adalah salah satu punca rezeki dan kita harus menghormati kerjaya sesiapa sahaja.
Sebab itu, apabila organisasi tersebut mengadakan majlis makan malam mewah untuk pekerja mereka, ia sedikit banyak membuka mata orang ramai tentang menghargai itu sangat bernilai kepada perasaan manusia.
Ini hanyalah salah satu contoh baik yang boleh diterapkan untuk menghargai pekerja yang berada dalam kerjaya ini.
Keadaan dunia sekarang semakin menekan kehidupan dan ekonomi semua orang, namun sikap perikemanusiaan mampu memberi sedikit senyuman kepada mereka yang sedang berjuang.
Banyak lagi cara untuk menghargai pekerja seperti memberi baucar, hadiah, bantuan, kenaikan gaji, bonus dan sebagainya.
Jadi kita harap semua organisasi terutama di Sarawak menerapkan budaya ini agar mampu mewujudkan sebuah kelompok yang amanah, jujur dan ikhlas semasa bekerja.
Apa-apa pekerjaan adalah memberi kebaikan sama ada pembantu kedai, golongan profesional atau kemahiran.
Namun, persekitaran kerja yang baik akan memberi kesan positif kepada pekerja memandangkan separuh daripada waktu manusia adalah bekerja.



