KUCHING: Suasana ceria dan penuh keakraban terus mewarnai hari kedua Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Seawal jam 9 pagi, seramai 11,308 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat mula membanjiri perkarangan Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) meskipun majlis dijadual bermula jam 10 pagi.


Kehadiran mereka disambut mesra oleh Abang Johari serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, yang meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu.
Beberapa pengunjung turut berkongsi keterujaan mereka menghadiri majlis ini.
Kua Geok Ho, 57, yang pertama kali datang bersama isterinya, mengakui teruja melihat sambutan Hari Raya dalam skala besar seperti ini.


“Saya sangat gembira dapat berada di sini hari ini,” katanya kepada Suara Sarawak.
Kujau Ingkai, 33, pula berkongsi kegembiraannya kerana dapat membawa isteri dan dua anak mereka ke rumah terbuka ini.
“Ini pengalaman pertama kami menghadiri rumah terbuka Premier, dan kami sangat teruja melihat suasana di sini,” jelasnya.
Dia turut memaklumkan bahawa mereka mengetahui tentang majlis ini melalui hebahan di Facebook dan telah tiba sejak jam 9.30 pagi.
Piri Nyerang, 80, yang hadir bersama anak dan cucunya, berkongsi bahawa mereka tidak pernah terlepas menghadiri rumah terbuka Premier setiap tahun.
“Saya suka datang ke majlis ini kerana dapat merasai suasana perayaan dan bertemu ramai orang,” ujarnya.
Dia juga bersyukur apabila menerima duit raya dan bercadang untuk datang lagi tahun depan.


Sementara itu, Kungan Banda, 57, memilih untuk hadir pada hari kedua kerana tidak berkesempatan semalam.
“Hari ini saya membawa cucu saya menaiki motosikal. Kami berdua seronok dapat melihat kemeriahan di sini,” ujarnya.
Semalam, dia menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi namun terpaksa meredah hujan.
“Walaupun hujan, saya tetap datang untuk meraikan suasana,” tambahnya.
Turut hadir, barisan menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.




